Sebuah masjid dekat Ipoh yang disimbah cat dalam kejadian awal pagi semalam./ Gambar media sosial.

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tembok pagar masjid di Taman SPPK, Pasir Puteh Ipoh yang diconteng dengan menggunakan semburan cat merah awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima daripada seorang Ahli Jawatankuasa masjid berusia 60 tahun pada pukul 9.07 pagi, semalam.

“Kejadian disedari pada pukul 5.15 pagi semasa pengadu dan isteri tiba di masjid dan mendapati terdapat tulisan cat merah “jangan buka bunyi terlalu kuat’ pada tembok pintu masuk utama masjid berkenaan.

“Tiada individu lain di kawasan sekitar selain pengadu dan isteri,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Baca artikel berkaitan: Suspek kirim surat kecam masjid ditahan, kena reman 4 hari

Yahaya berkata, pengadu yang juga muazin di masjid berkenaan memaklumkan beliau akan memasang alunan bacaan ayat al-Quran selama kira-kira 10 minit sebelum melaungkan azan solat subuh, setiap hari.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat yang boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram