misteri angka tujuh

Penyelidik Sains dari Syria Abduldaem Al-Kaheel melakukan kajian selama 10 tahun untuk membuktikan bahawa tujuh adalah istimewa.

Dia menyingkap misteri nombor tersebut yang disebut di dalam al-Quran serta hadis, dan cuba untuk memahami mengapa Allah memberikan penghormatan kepada nombor tersebut lantaran ia disebut berulang-ulang kali.

Paling mengejutkan, Abduldaem berjaya menemukan satu sistem penomboran yang tepat di dalam surah, ayat, perkataan dan huruf al-Quran. Baginya ia adalah bukti bahawa Allah yang mengaturkan dan menyusun kitab tersebut di mana tidak seorang makhluk pun mampu melakukannya.

Sebelum menerangkan lebih lanjut, Abduldaem mengemukakan satu persoalan mudah sebagai menjawab kepada kritikan bahawa al-Quran diturunkan bukan untuk tujuan penomboran. Akuinya, sudah tentu al-Quran itu adalah kitab yang membawa petunjuk tapi bagaimana petunjuk itu boleh disampaikan?

Jelasnya, keajaiban boleh jadi juga salah satu metod yang boleh digunakan untuk menyampaikan petunjuk. Semua pesuruh Allah diturunkan bersama mukjizat atau boleh juga diterjemahkan sebagai keajaiban tersendiri bagi menarik umat manusia ke jalan yang benar dan untuk membuktikan keikhlasan dalam menyampaikan seruan Allah. 

Manakala keajaiban al-Quran ialah sebuah kitab yang segar sepanjang zaman, sesuai dengan masa, tempat dan keadaan, walau tahun berubah dan teknologi baru tercipta tetapi al-Quran tetap sesuai digunakan sebagai panduan.

Di dalam pencarian itu, dia berjaya menyingkap misteri di sebalik nombor tujuh dan faham mengapa Allah memberikan penghormatan terhadap nombor tersebut.  

Allah berkuasa untuk menjadikan sesuatu benda itu lebih hebat berbanding benda yang lain. Begitu juga halnya, Allah memilih Rasul dan Nabi yang lebih istimewa berbanding nabi-nabi yang lain seperti Nabi Muhammad.

Sama juga halnya, apabila menjadikan hari atau malam tertentu lebih istimewa daripada malam yang lain seperti malam lailatulqadar. Yang Allah kata bahawa malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan.

Allah juga berikan keistimewaan pada hari Jumaat dan pada bulan tertentu seperti Ramadan. Pada bulan itu diturunkan al-Quran yang menjadi panduan kepada sekalian alam. Juga diwajibkan berpuasa pada bulan tersebut.

Selain itu, Allah juga memberikan keistimewaan kepada tiga masjid untuk dikunjungi dan mendapat pahala amal yang lebih berbanding masjid lain di dunia iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawai dan Masjid Al-Aqsa.

Begitu juga dengan al-Quran, Allah letakkan keistimewaan pada surah tertentu seperti Al-Fatihah sebagai Ummu Kitab, Al-Ikhlas (menyamai sepertiga al-Quran) dan ayat Kursi ayat yang hebat.

Albduldaem meluahkan, apabila menyelidiki dan mengkaji setiap nombor yang disebut di dalam al-Quran maka tidak mustahil jika Allah berikan nombor tujuh satu kedudukan yang istimewa.

Mengapa nombor tujuh?

7 lapisan bumi yang Allah ciptakan bukanlah secara kebetulan

Ada apa dengan nombor tujuh sebenarnya? Mengapa ia diulang berkali-kali di tempat yang berlainan di dalam al-Quran?

Tentu ada sesuatu yang hendak ditunjukkan tentang nombor yang mempunyai banyak implikasi, di dalam alam semesta, al-Quran dan hadis. Malah tidak ada satu kitab pun di muka bumi ini yang mampu menyusun nombor tujuh sebaik yang terdapat di dalam al-Quran.

“Faktanya, nombor tujuh telah dibuktikan sangat popular bukan saja di dalam al-Quran. Malah ia juga disebut di dalam Bible, ia disebut sebanyak 300 kali. Itu tidak termasuk nombor tujuh yang disebut dalam bentuk yang lain (seperti 17, 70).”

Di situ kelihatan bahawa nombor tujuh mempunyai keistimewaan juga kepada agama Kristian dan ia dikatakan sebagai Nombor Suci Tuhan dan simbol kesempurnaan-Nya. Malah sebuah buku tentang nombor tujuh pernah ditulis oleh R. McCormack, The Number Seven in the Bible and Nature.

Nombor 7 di dalam alam semesta

Apabila Allah mencipta alam semesta, Dia memilih nombor tujuh sebagai bilangan langit dan bumi. Ia disebutkan di dalam firman Allah surah al-Talaq: 12

Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu.”

Bahkan pada tahap atom, angka tersebut telah dibuktikan kepentingannya. Elemen kimikal nitrogen, di dalam bentuk molekul, membentuk komponen terbesar di dalam udara yang kita hirup iaitu kira-kira 78 peratus. Nitrogen adalah bahan penting untuk membina protein yang mana ia amat mustahak untuk kehidupan di bumi.

Atom nitrogen dibentuk dari komponen 7 neutron,proton dan elektron

Atom nitrogen dibentuk daripada komponen 7 neutron, 7 proton dan 7 elektron. Dan, ini menggambarkan betapa pentingnya nombor tujuh malah ia menjadi asas kepada setiap penciptaan.

Selain itu, telah ditetapkan juga bahawa seminggu ada tujuh hari, jumlah benua juga tujuh,  begitu juga jumlah spektrum warna yang boleh dilihat juga sama bilangannya. Saintis juga telah dapat mengesahkan bahawa lapisan geologi bumi ini juga tujuh seperti yang telah disebut di dalam al-Quran. Namun semua itu baru saja diterokai dan diketahui oleh saintis.

Tujuh juga banyak kali disebut di dalam hadis

Di dalam beribu-ribu sabda Baginda mengapa nombor tujuh memainkan peranan penting dalam menggambarkan sesuatu perkara mahu pun situasi. Sudah tentu ia bukan berlaku secara kebetulan dan disebut suka-suka kerana sesuatu yang datang dari mulut Rasulullah adalah wahyu dari Allah.

Berikut adalah beberapa hadis yang ada menyebut nombor tujuh dalam menyatakan sesuatu bilangan mahu pun situasi di dalam pelbagai keadaan. Sekadar menyebut dua saja sedangkan banyak lagi hadis yang menggunakan nombor tujuh untuk menunjukkan larang dan juga perintah, bilangan, seksaan dan sebagainya. Di dalam hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda,

Jauhilah tujuh dosa besar yang membinasakan.”

Barang siapa di pagi hari makan tujuh biji kurma Ajwa setiap harinya, maka tidak akan membahayakan terhadap dirinya baik berupa racun dan juga sihir pada hari tersebut.”

Sesungguhnya nombor tujuh adalah nombor popular yang sering disebut di dalam hadis Rasulullah. Ia juga banyak kali disebut di dalam al Quran selepas nombor satu.

Nombor tujuh dan ibadat haji

Cukup menarik, kebanyakan amalan di dalam ibadat haji mengambil bilangan tujuh seperti tawaf tujuh kali pusingan Kaabah melawan jam, sa’i berjalan antara bukit Safa dan Marwa di dalam bilangan tujuh. Tidak ketinggalan juga ketika melontar jumrah yang dilakukan dengan batu kerikil di dalam bilangan tujuh.

Perumpamaan tujuh di dalam al-Quran

Banyak perumpamaan nombor tujuh yang boleh dikutip dari al-Quran akan disebutkan serba sedikit beberapa ayat yang menyebut tentang nombor itu. Di dalam surah Nuh: 15-16,

Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan, Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang benderang).”

Nombor tujuh juga disebut di dalam kisah mimpi raja Mesir yang diceritakan kepada Nabi Yusuf.  Di dalam surah Yusuf: 43,

“Dan pada suatu hari Raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat; tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai mentafsir mimpi.”

7 petala langit dan 7 petala bumi Allah ciptakan dengan bersebab bukan secara kebetulan.

Nombor tersebut juga disebut di dalam surah al-Haaqqah: 5-7, al-A’raf: 155, al-Kahf: 22, al-Hijr: 43-44, al-Haaqqah: 25-33, Luqmaan: 27, al-Baqarah: 261 dan al-Taubah: 80.

Syurga juga disebut di tujuh tempat di dalam al-Quran iaitu di dalam surah al-Baqarah: 29, al-Isra’: 44, al-Mu’minun: 86-87, Fussilat: 12, al-Talaq: 12, al-Mulk: 3 dan Nuh: 15-16.

Tujuan pendedahan itu bukan untuk memuja nombor tersebut atau meletakan bahawa tujuh itu adalah nombor yang membawa tuah, sebaliknya adalah sebagai bukti bahawa al-Quran adalah kitab yang disusun oleh Allah dan tidak pernah ditokok tambah oleh manusia. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengeluarkan kitab sebaik al-Quran.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui rahsia di sebalik keajaiban nombor tujuh yang disebut banyak kali di dalam al-Quran. Apa saja usaha yang dilakukan untuk mengaitkan nombor di dalam al-Quran dan politikal atau peristiwa sejarah adalah satu perkara yang meragukan ia boleh jadi benar mungkin juga salah.

Adalah lebih baik untuk menjauhkan diri daripada membuat ramalan tentang perkara yang rahsianya Allah saja mengetahuinya. Wallahu a’lam

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram