KISAH orang hilang secara misteri mungkin sudah biasa kita dengar. Bagaimana pula kalau satu kampung hilang secara misteri tanpa meninggalkan sebarang jejak?

Inilah yang berlaku di sebuah perkampungan berdekatan dengan Tasik Anjikuni di Nuvanut, Kanada.

Suatu malam pada bulan November 1930, Joe Labelle yang merupakan seorang pemburu melintasi sebuah kawasan perkampungan di utara Kanada. Dia yang kepenatan dalam cuaca sejuk itu berhajat ingin menumpang tidur semalaman di kawasan itu.

Ini bukan kali pertama Joe melintasi kawasan tersebut. Dia tahu selok-belok perkampungan itu malahan, Joe sendiri mempunyai kawan dalam puak Anjikuni.

Apa yang menghairankan Joe ialah, sewaktu dia makin hampir dengan kawasan perkampungan Anjikuni, suasananya tidak seperti biasa.  Sunyi sepi. Langsung tidak ada kelibat manusia mahupun haiwan ternakan yang kelihatan.

Joe berjalan ke salah sebuah tempat berkumpul bagi penduduk kampung itu yang diberi nama Mack Shack. Pemilik Mack Shack iaitu Fran MacKenzie ialah seorang bekas askar yang kudung kakinya. Fran tidak pernah keluar dari Mack Shack. Apatah lagi untuk berpindah dari tempat itu.

Anehnya, keadaan Mack Shack sunyi. Namun makanan masih berada di atas api. Tambah membingungkan Joe apabila dia ternampak tongkat kepunyaan Fran MacKenzie yang ditinggalkan.

Joe ternampak cebisan cahaya yang berkelip pada jarak 400 meter dari kedudukannya. Walaupun dia tahu tiada sesiapa di situ, tetapi Joe berharap dapat melihat ke mana arah penduduk kampung itu pergi berdasarkan bekas tapak kaki di atas permukaan salji.

Yang menghairankan, tiada langsung jejak kaki manusia mahupun haiwan di atas permukaan salji kecuali jejak kaki kepunyaan Joe sendiri. Dia cuba meninjau keadaan sekeliling dan ternampak satu periuk makanan yang masih dimasak di atas api berserta dua barangan peribadi yang diletakkan di tepi batu besar.

Apa yang membingungkan Joe ialah barang-barang itu kepunyaan ketua puak Anjikuni yang telah meninggal dunia lebih setahun lalu yang diketahui telah ditanam bersama dengan mayatnya. Jadi, bagaimana barang-barang itu ada di luar?

Joe yang ketakutan telah menghantar telegram kepada pihak berkuasa yang kemudiannya datang untuk menyiasat misteri kehilangan penduduk kampung Anjikuni.

Misteri ini tidak terhenti di situ. Pihak polis menemui bangkai seekor anjing milik salah seorang penduduk kampung. Agak ganjil apabila bangkai anjing tadi dipakaikan pakaian wanita. Malah, gincu turut dicalit pada mulut anjing itu. Telinganya pula ditindik dan dipakaikan anting-anting. Pada tangannya pula terdapat kesan luka dan salah satu jejari anjing itu disarungkan cincin dipercayai cincin perkahwinan.

Polis juga mendapati kubur-kubur di kawasan perkampungan itu telah digali semula. Rangka mayat yang tertanam pula hilang dan lubang kosong itu disumbat dengan sampah. Hanya sebuah kubur yang tidak diusik. Kubur itu milik Punckii Akkailo yang dipercayai ketua tribal pertama yang menjumpai kawasan tersebut.

Tiada siapa tahu apa punca anjing itu diperlakukan sedemikian dan mengapa tanah perkuburan itu digali dan kesemua mayat dicuri.

Penduduk kampung Anjikuli tidak pernah ditemui selepas kejadian itu. Kehilangan mereka masih kekal misteri sehingga ke hari ini.

Terdapat beberapa teori yang dikaitkan dengan kisah ini. Ada yang mengaitkan kisah UFO dengan kehilangan penduduk kampung ini. Ada pengkaji mengatakan kisah ini hanya rekaan semata-mata yang dicipta oleh Frank Edwards untuk bukunya berjudul ‘Stranger Than Science’ yang dihasilkan pada tahun 1959.

Tambahan pula dikatakan tiada bukti sebarang dokumen atau artikel berkaitan pencarian kehilangan penduduk ini yang pernah wujud, sebab itu kisah kampung Anjikuni ini dianggap rekaan.

Pun begitu, masih ramai yang percaya dengan kisah ini dan masih tertanya-tanya, apa sebenarnya yang berlaku pada penduduk kampung yang ghaib itu.

________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam