SELEPAS cemerlang dengan single sulung berjudul Lamunan Anak Bulan, kumpulan Ramayan kini tampil dengan single terbaharu berjudul, Puas yang telah dipetik daripada album penuh mereka, Di Persiaran Cakrawala.

Ramayan yang dianggotai oleh Omar, Pi’e dan Que gembira dapat menunaikan permintaan peminat yang mahukan karya terbaharu selepas single pertama yang dilancarkan pada Mei tahun lalu.

Lebih istimewa, single kedua itu merupakan lagu yang ditulis oleh bekas anggota mereka iaitu Naz (pemain keyboard) dan Amin (gitaris) yang asalnya ditulis untuk projek sampingan mereka.

“Kali pertama saya mendengar lagu ini dimainkan oleh Naz menerusi piano, saya terus tertarik dengan pilihan kordnya. Saya berjaya mendapatkan susunan kordnya daripada mereka dan apabila saya cuba meletakkan melodi nyanyian di atasnya, ia datang dengan begitu sahaja.

“Seolah-olah saya telah diberi ilham bukan sahaja melodi malah liriknya juga. Proses yang selalunya mengambil masa sehari untuk disiapkan selesai dalam masa beberapa jam sahaja.” kata Pi’e, vokalis dan gitaris kedua Ramayan.

Ujar Pi’e lagi, garapan lagu Puas begitu dekat dengan dirinya dan dia menterjemahkan pengalaman cinta yang pernah dilalui dulu menerusi sebuah karya indah.

“Waktu saya menulis lagu ini, saya sedang berada dalam situasi yang amat gelap dalam hidup saya. Dahulu saya percaya bahawa di mana sahaja ada cinta di situ ada Tuhan. Dan kepercayaan itu dirasai paling kuat apabila saya terjatuh cinta dengan seorang gadis.

“Malangnya, gadis itu telah dimiliki sahabat akrab saya. Namun saya tetap berkeras dengan cinta itu menyebabkan mereka berdua putus cinta. Saya sangat menyesal dengan tingkah laku saya yang tidak mempunyai batas, maka tertulislah lagu ini, sebuah lagu penyesalan,” ujarnya.

Puas merupakan percubaan Ramayan untuk memberi nafas baru kepada muzik rock Malaysia, terutamanya genre ‘rock jiwang’ yang sedang bertakhta di kalangan pendengar.

Mereka berpendapat bahawa bunyi rock yang sedang dibawa oleh kebanyakan artis hari ini kurang kualiti dan nilai kepuasannya dari segi kreativiti dan mesej yang disampaikan dalam lirik-liriknya.

Kata Que yang bertindak sebagai pemain dram, kebanyakan penulis sekarang hanya mengambil berat tentang apa yang ‘catchy’ dan ‘easy-listening’.

“Menulis lirik yang tidak memerlukan daya pemikiran dan falsafah yang tidak bermakna. Kami pun tulis tentang cinta juga, tapi cara kami menulisnya berbeza.

“Kami cuba melihat dari sudut yang berbeza dan lebih mendalam. Dan ini yang membuat lagu Puas unik untuk kami,” ulasnya.

Daripada segi instrumentasi dan muziknya pula Ramayan mengambil inspirasi daripada irama lagu-lagu balada 80an dan 90an seperti karya-karya Sudirman, Carefree, Kenny Remy Martin, Aman Shah dan yang serupa dengannya.

Muzik seperti ini tidak asing lagi pada telinga rakyat Malaysia, irama dan melodinya yang tersendiri telah menjadi sebati dengan jiwa mereka.

Sementara itu menurut Omar selaku pemain bass berkata, mereka ingin mendapatkan kedudukan yang sama dalam jiwa orang ramai, dengan menggunakan unsur-unsur yang ada di dalam karya zaman itu untuk membangkitkan nostalgia, dan menggabungkannya dengan gaya psychedelic.

“Telah menjadi harapan lama Ramayan bahawa lagu-lagu kami akan dibawa ke dalam dunia perfileman, sama ada digunakan
sebagai lagu tema (OST) sebuah drama bersiri atau sebuah filem dan sebagainya.

“Kami percaya bahawa lagu Puas terutamanya sesuai kerana mood lagunya yang penuh dinamik dan emosi, seolah-olah lagu itu sendiri menceritakan sebuah kisah drama.

“Ada juga beberapa lagu kami sebelum ini yang telah dipilih menjadi sebahagian daripada soundtrack dokumentari dan drama televisyen,” jelasnya.

Puas telah dirilis secara digital di bawah Luncai Emas pada bulan April yang lepas di semua platform streaming termasuk Spotify, JOOX, iTunes dan Deezer dan sebagai audio rasmi di YouTube. Rilisan tersebut diikuti dengan sebuah video persembahan secara langsung terbitan Luncai Emas dan Bsync Production yang telah dirakam di Bsync Studios pada bulan Disember tahunlalu dan dilancarkan di YouTube.