Petugas kesihatan Indonesia melakukan operasi nyahkuman di sebatang jalan raya di Solo. Foto AFP

SIAPA sangka, varian Delta Covid-19 yang membadai India sejak April lalu kini menjadi dominan di seluruh dunia mengatasi varian-varian lain dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian itu sudah ditemukan di 104 buah negara dunia dan mengakibatkan peningkatan kes positif Covid-19 di sebalik rancangan beberapa negara memberi kelonggaran kepada langkah sekatan diambil.

Malaysia tidak terlepas daripada cengkaman ganas Delta yang menyaksikan kes harian Covid-19 mencatat rekod lebih 11,000 kes setakat semalam sahaja selepas sekian lama mencatatkan kes empat angka sahaja.

Di sebalik pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, ternyata kes harian Covid-19 terus tinggi dan dijangka hanya akan stabil dalam dua minggu lagi.

Ini disebabkan, varian Delta mudah menjangkiti orang ramai kerana ia tersebar melalui udara dan mudah berjangkit kepada orang lain.

Selain itu, kadar pemberian vaksin yang belum mencapai tahap imuniti kelompok mengakibatkan ramai penduduk terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Malah, mengikut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jika 100 orang dijangkiti varian Delta, ia dengan mudah menjangkiti 800 individu lain.

Peningkatan kes ini juga menunjukkan varian Delta sudah berada dalam kelompok masyarakat dan sedang giat merebak di lokaliti penempatan penduduk seperti taman perumahan dan pangsapuri.

Dalam pada itu, penularan varian Delta Covid-19 dilihat mengganggu usaha banyak negara untuk memulihkan ekonomi masing-masing apabila terpaksa menguatkuasakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) atau perintah berkurung.

Indonesia paling teruk terkesan dengan penularan varian Delta Covid-19 mengambil alih kedudukan India sebagai ‘pusat wabak’ baharu Asia dengan merekodkan jangkitan harian mencecah 40,000 untuk tempoh dua hari berturut-turut, minggu ini.

Pulau Jawa yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi menjadi ‘mangsa’ varian Delta
apabila kadar penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di 12 wilayah melebihi 70 peratus yang mana separuh daripadanya di Jawa dan selebihnya di kepulauan Indonesia yang lain

Kuasa ekonomi terbesar Asia Tenggara itu dilapor merekodkan 47,899 kes baharu, semalam sekali gus menjadikan ia rekod tertinggi berbanding 40,427 kes pada hari sebelumnya.

Kes jangkitan Covid-19 di India pula turun kepada 32,906 dari 37,154 kes.

Ini mendorong kerajaan melanjutkan langkah sekatan di seluruh negara hingga 20 Julai ke atas puluhan bandar dan meluaskannya dari barat pulau Sumatera hingga ke paling timur Papua kerana varian Delta yang merebak begitu cepat.

Malah, Vietnam yang sebelum ini dilihat cemerlang mengekang penularan Covid-19 tahun lalu dilihat gagal menangani ancaman varian Delta apabila jumlah jangkitan kes meningkat secara mendadak sejak penghujung April.

Kerajaan Vietnam terpaksa melaksanakan perintah berkurung selama 15 hari sejak minggu lalu di Ho Chi Minh yang mengakibatkan penduduknya terpaksa berkurung di rumah dan dibenarkan keluar jika terdesak.

Kedai, bar, restoran ditutup dan penghantaran makanan serta pengangkutan awam ditangguhkan.

Malah kata WHO, kebanyakan kes jangkitan di Vietnam dikesan dalam komuniti dengan ketiadaan maklumat atau kaitan sumber jangkitan.

Petugas kesihatan Indonesia melakukan operasi nyahkuman di sebatang jalan raya di Solo. Foto AFP

Thailand juga tidak terkecuali melaksanakan perintah berkurung di Bangkok sejak minggu lalu apabila penularan varian Delta menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19.

Ini sekali gus menyukarkan hasrat kerajaan untuk membuka sektor pelancongan negara itu yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun rakyatnya masih dibenarkan keluar membeli makanan dan berjumpa doktor.

Peningkatan kes Covid-19 juga mendorong kerajaan menjadikan sebuah terminal lapangan terbang Bangkok sebagai Hospital Medan bagi menempatkan pesakit Covid-19 untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, Jepun yang menjadi tuan rumah sukan Olimpik terpaksa mengambil keputusan untuk meletakkan Tokyo di bawah perintah darurat berikutan situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu ketika ini.

Langkah yang berkuat kuasa bermula semalam sehingga 22 Ogos itu bakal menyaksikan temasya sukan berkenaan dilangsungkan tanpa penonton di ibu negara tersebut.

“Kita perlu mengambil langkah yang lebih ketat demi menghindari satu lagi penularan ke seluruh negara, juga dengan mengambil kira impak varian-varian Covid-19,” kata Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.

Varian Delta turut mengakibatkan bandar raya Sydney, Australia yang didiami oleh lima juta penduduk melanjutkan perintah berkurung yang sepatutnya berakhir pada 16 Julai sehingga 30 Julai ini bagi menghalang penularan pandemik Covid-19.

Kebanyakan penduduk dibenarkan keluar rumah untuk bersenam, membeli barangan penting, bekerja atau mendapatkan rawatan perubatan tetapi sekolah ditutup dan orang ramai digalakkan berada di rumah masing-masing dalam tempoh berkenaan.

Gelombang terbaharu Covid-19 di Australia bermula pada pertengahan Jun lalu dan kini meningkat sehingga kepada 864 kes manakala 20 orang berada dalam wad unit rawatan rapi dan dua pesakit sudah meninggal dunia.

Sementara itu, keadaan berbeza diambil negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) yang dilihat tidak cenderung memilih perintah berkurung sebagai jalan penyelesaian menangani penularan varian Delta Covid-19.

Menurut Presiden AS Joe Biden, kebanyakan penduduk negara itu sudah mendapatkan dua suntikan vaksin yang dipercayai berkesan terhadap varian berkenaan.

Tambahnya, hanya mereka yang belum divaksin akan berpotensi dijangkiti dengan teruk dan dimasukkan ke hospital.

Selain Amerika, Britain turut menarik balik sekatan yang dikenakan dalam tempoh seminggu lagi di sebalik peningkatan kes Covid-19.

Namun kata Perdana Menteri Britain, Borris Johnson,orang ramai tetap diminta berwaspada dengan ancaman Covid-19 dan menggantikan sekatan itu dengan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak dan pengenalan passport vaksin di kelab malam dan lokasi aktiviti sosial lain.