haji umrah cara Rasulullah
Gambaran Kaabah pada zaman dahulu sebelum pembangunan Masjidil Haram

Walaupun tahun ini tiada penghantaran jemaah haji Malaysia ke Mekah, namun perkongsian ilmu ini sedikit sebanyak membantu kita memahami tentang ibadah dari rukun Islam kelima ini yang tidak pun sulit sebagaimana yang difikirkan.

Di dalam umrah dan haji tidak ada bacaan yang khusus kecuali sedikit. Ia jelas seperti yang dinyatakan di dalam hadis Rasulullah tentang cara haji Nabi s.a.w. iaitu tidak ada bacaan yang panjang berjela-jela seperti yang tertera di dalam buku panduan umrah dan haji.

Hinggakan ada yang seperti hilang arah apabila buku panduan yang dibawa keciciran atau hilang. Apa yang harus dibaca ketika tawaf? Macam mana hendak berdoa jika buku tidak ada?

Akhirnya, jadi susah hati, jiwa tidak tenteram dan ibadat yang dilakukan tidak fokus. Namun halnya berlainan jika kita amat memahami cara haji yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Hal itu diberi penjelasan oleh Dr. Fadlan Mohd.Othman, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam (UKM) katanya, bacaan yang paling penting semasa mengerjakan haji dan umrah adalah talbiyah.

Ia dibaca sejak niat ihram dilafazkan hinggalah melontar jamrah. Bacaan talbiyahnya pula adalah,

Labbaika Allahumma labbaik, labbaika laa syarika laka labbaik. Innal hamda, wan-ni’mata laka wal mulk, laa syarika laka.”

Yang pertama adalah bacaan talbiyah ketika niat berihram, “labbaika Allahumma hajjan… (Ya Allah! aku sambut seruan haji Mu…) ataupun boleh juga dibaca, “Ya Allah!, tempat tahlulku adalah di tempat yang aku tertahan.”

Siapa yang sebut bacaan ini maka mereka boleh tahlul dan tidak perlu bayar dam tapi bagi mereka yang tidak membacanya apabila sampai pada keadaan yang tidak membolehkannya menyempurnakan haji, maka ia boleh bertahlul dan perlu membayar dam.

Ada pun tambah Dr. Fadlan, bacaan talbiyah perlu dibaca sepanjang perjalanan dari tempat miqat hinggalah masuk ke Masjidilharam. Pun begitu, ketika masuk saja Masjidilharam tidak ada bacaan yang khusus kecuali bacaan doa yang biasa kita baca ketika memasuki masjid.

Bacaan doanya adalah sama untuk semua masjid walau di mana pun juga kita menghadirkan diri. Begitu juga halnya ketika melihat Kaabah, tidak ada doa yang khusus untuk dibaca. Jika ada yang tertera pada buku panduan haji sekadar garis panduan sahaja.

Jika ada kelapangan dan sempat untuk membacanya, bacalah. Jika membacanya hingga menyusahkan orang lain dan menghalang laluan kerana kita perlu berhenti dan membaca satu persatu doa yang ditulis, itu menyulitkan. Ketika melihat Kaabah itu bacalah zikir yang memuji kebesaran Allah.

Bacaan ketika tawaf

Kemudian ketika kaki melangkah untuk mengerjakan tawaf yang dimulakan di sudut Hajarulaswad, niat pun dibaca tanpa perlu berdiri terlalu lama di garisan yang ditandakan dengan lampu hijau kerana ia akan menyebabkan kesesakan dan mendatangkan kesukaran.

Apabila hendak memulakan tawaf di Hajarulaswad kita baca, “Bismillahi Allahuakbar.” Atau pun di dalam riwayat yang lain ada disebutkan hanya baca, “Allahuakbar”.

Semasa pusingan tawaf dilakukan, pun tidak ada bacaan khas yang dibaca oleh Nabi s.a.w. Tidak ada bacaan khusus yang ditetapkan pada pusingan tawaf pertama, kedua hingga ke tujuh.

Penjarakan sosial tetap dititik beratkan sewaktu tawaf pada ketika ini

Bacaan yang dianjurkan di dalam buku panduan haji dan umrah hanya sekadar garis panduan dan tidak diwajibkan untuk membacanya mengikut apa yang dicatatkan di dalam buku itu. Jika tidak ikut doa yang telah disediakan di dalam buku panduan itu, pun tidak menjadi kesalahan.

Namun sekurang-kurangnya dengan adanya buku itu maka tidaklah tertanya-tanya atau hilang arah untuk membaca apa.

Pun begitu jangan sampai menyebabkan susah hati hingga hilang fokus kerana bacaan doa yang dicatatkan di dalam buku belum habis dibaca tetapi pusingan tawaf pertama sudah hampir habis.

Jangan menyusahkan diri hanya untuk membaca doa yang dicatatkan di dalam buku panduan haji itu. Jika boleh baca, bacalah. Jika tidak boleh, tidak menjadi masalah. Bacalah apa saja bacaan yang baik seperti zikir atau pun berdoa.

Apabila sampai di rukun Yamani bacaannya pula adalah, “Rabbanaa aatina fiddunia hasanah, wal filakhirati hasanah, wa qinaa aza bannar.” Itu sajalah bacaan yang khusus semasa di dalam tawaf.

Kemudian apabila sampai semula di Hajarulaswad maka bacalah, “Bismillahi Allahuakbar,” untuk memulakan pusingan tawaf yang kedua.

Andainya selepas ini ada yang mendakwa bahawa doa itu dan ini yang terbaik dibaca sewaktu tawaf, ia adalah tidak benar.

Jelasnya, bacaan khusus di dalam tawaf tidak banyak dan mudah untuk diingati. Namun tidak menjadi kesalahan jika mahu menambah bacaan umum semasa di dalam tawaf seperti doa yang tertera di dalam buku panduan haji.

Jika tidak pun, boleh juga membaca al-Quran semasa tawaf, itu pun tidak salah. Jika hendak berzikir pun boleh juga. Mahu pun berdoa untuk apa saja yang dihajati, meminta pengampunan juga tidak dilarang.

Pun begitu, doa yang paling baik sekali adalah doa yang kita faham, barulah datang penghayatannya dan terus dari hati.

Bacalah apapun doa saat bertawaf sama ada dengan tujuan secara umum atau khusus.

Kemudian timbul persoalan, jika berdoa ketika tawaf bukankah itu akan terpesong niat? Mengenai hal itu pula, Dr. Fadlan menegaskan bahawa tidak jadi masalah untuk berdoa dengan doa sendiri tanpa mengikut buku panduan.

Alasannya doa itu bukan merupakan syarat sah tawaf. Tidaklah dikatakan telah lari niat jika kita berdoa semasa melakukan pusingan di dalam tawaf. Malah jika kita hendak senyap iaitu tidak berzikir atau pun berdoa pun boleh. Maksudnya, senyap dan bertafakur sambil bertawaf, berfikir tentang nikmat kebesaran Allah pun sudah memadai.

Terangnya, semasa tawaf tidak ada zikir atau bacaan yang khas itu bermaksud buat apa saja perkara yang baik itu dibenarkan dan tidak menjadi kesalahan. Kita boleh buat apa saja perkara yang baik termasuklah berfikir tentang kebesaran Allah, bertafakur, meminta ampun, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran, semuanya boleh.

Buku yang diberikan oleh pihak pengurusan haji hanyalah sekadar panduan, jika boleh buat maka buatlah. Jika tidak mampu untuk membacanya tidak menjadi kesalahan.

Perkara yang paling baik semasa bertawaf adalah membaca doa yang kita sendiri faham maksudnya. Doa yang paling afdal adalah di dalam bahasa ibunda kita berbanding bahasa Arab.

Apabila habis tujuh pusingan, Rasulullah akan pergi ke belakang makam Ibrahim untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Jika mengikut cara yang Rasulullah lakukan, Baginda membaca surah al-Baqarah ayat 125,

…dan jadikanlah oleh kamu makam Ibrahim itu sebagai tempat solat.

Sekali lagi apabila disebut di belakang makam Ibrahim, ramai jemaah haji yang silap faham tentangnya. Hal itu diperjelaskan lebih lanjut oleh Dr. Fadlan. Maksud makam Ibrahim adalah keseluruhan di dalam Masjidilharam.

Tidak semestinya betul-betul di makam Ibrahim. Inilah yang biasanya jemaah salah faham apabila disebut belakang makam Ibrahim maka tempat yang dituju adalah di belakang makam Ibrahim hingga berpusu-pusu orang di situ dan menghalang laluan tawaf jemaah lain.

Sebaiknya, carilah tempat yang tidak sesak dengan jemaah untuk tunaikan solat sunat meskipun hingga ke tingkat atas Masjidilharam, ia tetap di belakang makam Ibrahim.

Di dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim, juga dinyatakan bahawa di dalam solat sunat itu Rasulullah membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua.

Setelah selesai, Nabi s.a.w. minum air zamzam dan membasahkan kepala untuk menyegarkan kembali badannya. Kemudian Rasulullah kembali semula ke sudut Hajarulaswad seolah-olah hendak memulakan tawaf  semula tapi Nabi tidak melakukan tawaf sebenarnya.

Baginda hanya membaca, “Bismillahi Allahuakbar.” Kemudian Nabi pusing belakang untuk menuju ke Safa bagi memulakan Sa’i. Wallahu a’lam

____________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram