DR NOOR HISHAM ABDULLLAH/ Gambar Fb Noor Hisham 1 Jun

PURATA kadar kebolehjangkitan COVID-19 negara atau nilai R-naught (Rt) makin menunjukkan trend peningkatan.

Buat hari kedua berturut-turut, nilai Rt terus melonjak sehingga mencecah 1.19 berdasarkan rekod tertinggi jumlah kes baharu iaitu 11,618 semalam.

Trend peningkatan dapat dilihat sejak 25 Jun lalu yang pada ketika itu merekodkan 0.96.

Sebagai rekod, Malaysia pernah mencatatkan nilai Rt penularan jangkitan COVID-19 tertinggi pada permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, 18 Mac tahun lalu dengan nilai 3.5.

Rt tertinggi direkodkan tahun ini pula adalah 1.21 pada 22 Mei lalu.

Purata kadar kebolehjangkitan kebangsaan antara 14 Jun sehingga 14 Julai. GAMBAR: Media Sosial Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menunjukkan nilai Rt di kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan semalam.

Kebolehjangkitan tertinggi direkodkan di Terengganu apabila nilai Rt naik mendadak kepada 1.40 berbanding 1.26 hari sebelumnya.

Ia berdasarkan peningkatan jumlah kes COVID-19 baharu di negeri tersebut yang kembali mencatatkan tiga angka jangkitan kepada 189 semalam.

Baca artikel berkaitan: Rekod lagi, semalam 11,079, hari ini 11,618 kes

Kebolehjangkitan di Putrajaya juga terus tinggi apabila berada pada paras 1.31.

Dua negeri di Lembah Klang iaitu Selangor dan Kuala Lumpur yang terus merekodkan jumlah kes paling banyak turut menjadi antara negeri Rt tertinggi.

Bagaimanapun, Rt di Selangor turun sedikit kepada 1.18 berbanding 1.19 kelmarin, namun kebolehjangkitan di Kuala Lumpur makin naik kepada 1.17.

Pada masa sama, Kedah dan Pahang juga menyaksikan lonjakan kebolehjangkitan masing-masing kepada 1.19 dan 1.16.

Negeri Sembilan yang merekodkan 1,537 jangkitan baharu semalam turut memperlihatkan peningkatan kadar kebolehjangkitan mencecah 1.13 berbanding 1.06 hari sebelumnya.

Turut merekodkan peningkatan nilai Rt adalah Kelantan iaitu kepada 1.05 dan Melaka yang naik kepada 1.15.

Hanya Sabah, Pulau Pinang, Labuan dan Sarawak yang menyaksikan penurunan kadar kebolehjangkitan semalam.

Sabah mencatatkan 1.06; 1.10 di Pulau Pinang; 0.84 (Labuan) dan 0.92 di Sarawak.

Nilai Rt di Johor dan Perak pula tidak berubah iaitu masing-masing pada paras 1.05 serta 1.04.

Sementara itu, hanya tiga kes dicatatkan di Perlis.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram