tabung haji

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) disifatkan mampu merungkai persoalan dan spekulasi yang telah lama berlegar dalam kalangan rakyat.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berpandangan, ia berkaitan aspek tadbir urus, integriti, dan reputasi Tabung Haji sebagai institusi simpanan kewangan Islam.

Kata beliau, MCW turut menyambut baik keputusan kerajaan mewujudkan RCI, malah berpendapat wajar dilakukan lebih awal supaya siasatan lanjut dilakukan dengan terperinci.

Beliau berkata, pengendalian kes juga sepatutnya menggunakan kaedah ‘sesi pendengaran awam’ bagi mendapatkan maklum balas pihak berkepentingan dan orang awam.

Menurut Jais, MCW turut melihat kepentingan melibatkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan belia sebagai suara generasi muda dalam senarai keahlian RCI tersebut.

Katanya, kepakaran dan ketelitian RCI amat penting agar tidak menjejaskan apa-apa siasatan serta tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa.

“Pilihan calon yang tepat amat penting supaya urusan siasatan RCI dapat berjalan lancar.

Baca artikel berkaitan: Kabinet setuju tubuh RCI Tabung Haji – TPM

Perluaskan skop siasatan RCI Tabung Haji – Asyraf Wajdi

“Pastikan skop siasatan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020 terutamanya hasil pengauditan PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young dan Roland Berger.

“Kepakaran, kecekapan dan ketelusan Tabung Haji dapat memastikan keyakinan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Kabinet bersetuju supaya kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Jais berkata, Tabung Haji juga tidak seharusnya lagi membiarkan isu berkaitan politik diheret dalam menentukan kuasa pengurusan organisasi.

Katanya, wujud desas-desus politik mengatakan Pakatan Harapan (PH) terpaksa melakukan pelbagai tindakan drastik akibat kelemahan pengurusan Tabung Haji semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Isu dan pertikaian ini membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap hak Tabung Haji dalam menguruskan jemaah haji negara dengan selamat.

“Harus diingatkan bahawa Tabung Haji bukanlah medan parti politik sebaliknya matlamat utamanya adalah untuk menyediakan peluang seluas-luasnya bagi rakyat Islam dapat menunaikan ibadah haji dan perlu dipelihara sebaiknya.

“MCW berharap proses siasatan benar-benar dapat direalitikan secara telus supaya tidak wujud tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan atau perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram