Roh pulang selepas dikebumikan? Selama 40 hari? Kita seringkali mendengar cerita seperti ini.

Ada yang mengatakan jelmaan itu adalah syaitan. Ada pula yang mengatakan ianya qarin. Tidak kurang yang mengatakan itu adalah roh si mati yang tidak aman dan tidak dapat menerima kenyataan bahawa dia sudahpun meninggal dunia serta perlu berpindah ke alam kematian yang kekal abadi.

Kononnya lagi, roh ini akan berkeliaran sehingga 40 hari. Selepas itu, ia perlu meninggalkan alam nyata untukmenerima nasibnya di alam kematian.

Benarkah demikian? Bukankah selepas seseorang itu meninggal dunia, rohnya akan segera ditempatkan di suatu alam lain. Roh itu tidak mungkin dapat kembali ke dunia nyata ini, apatah lagi menjelma dalam bentuk jasad pemiliknya.

Cuba anda fikirkan kejadian ini…

—————-

MALAM ITU saya bersandar di kerusi sambil menghadap televisyen. Agak menarik juga rancangan yang disiarkan pada pukul 11.00 malam itu, tapi entahlah… fikiran saya asyik melayang. Saya terkenangkan Hashim, kawan baik yang meninggal dunia subuh tadi.

Pemergian Hashim benar-benar mengejutkan. Tidak sangka, cuma sejam selepas kami berborak petang semalam, Hashim kemalangan. Dan subuh tadi, dia meninggal dunia di hospital.

Saya terkenangkan segala kebaikan Hashim. Orangnya jujur, peramah dan suka bergurau. Sepanjang kami berkawan tidak pernah dia menyakitkan hati saya. Mengambil kesempatan, memburuk-burukkan saya di belakang atau orang kata ‘gunting dalam lipatan’ juga tidak sekali-kali. Kerana itulah, bila dia meninggal dunia, saya benar-benar sedih.

Lebih menghibakan, saya tidak dapat menyempurnakan jenazahnya. Sudah berpuluh tahun menjadi penggali kubur di kampung saya di Negeri Sembilan ini, sayalah yang akan bersama beberapa orang kawan lagi menggali kuburnya. Tapi alangkah sedih, apabila kawan baik saya sendiri meninggal, saya tidak dapat menunaikannya.

“Saudara-mara di kampung nak arwah dikebumikan di sana, dekat Pekan, Pahang,” kata-kata anak Allahyarham pagi tadi terngiang di telinga.

Saya tidak mahu menghalang, tapi sebagai kawan saya terkilan tidak dapat menyempurnakan jenazahnya. Jika sudah itu kehendak keluarga dan saudara-mara Allahyarham, takkan saya hendak menahannya. Lainlah ka…

Sebagai penggali kubur, saya sedih kerana tidak dapat mengebumikan sahabat baik saya sendiri.

“Bang!!!” kata isteri saya, Milah Long, mengejutkan saya daripada terus mengelamun. “Bau tu datang lagilah. Makin kuat,” sambungnya.

“Ahh… jangan mengarutlah,” balas saya endah tak endah.

“Ya, bang. Nak buat apa saya bohong,” tegasnya.

Maghrib tadi, Milah ada mengadu terhidu bau kapur barus dan air mawar yang biasa ditabur pada kain kapan. Bau tersebut melintas sekali lalu. Beberapa minit kemudian, ia datang semula diselangi wangian minyak atar dan kayu gaharu.

“Abang tak ada terbau ke?” Milah bertanya sambil menggosok-gosok lengan dan tengkuk.

“Tak ada pun,” jawab saya.

“Jangan-jangan… arwah, tak?” tambahnya.

“Betullah bah…” kata anak ketiga saya, Ramsiah yang mengadu turut terhidu bau berkenaan.

Enam lagi anak saya berserta menantu dan cucu juga mengiakannya. Seorang demi seorang berkumpul di ruang tamu. Sekejap kemudian, anak bongsu saya, Mohd. Alias pula berlari datang. “Takutlah bah. Eee… macam bau mayat.”

Saya terus menonton. Malas hendak percaya perkara-perkara sebegitu. Kalau nak dikira kena ganggu dengan perkara-perkara pelik, tentulah sudah teruk saya diuji. Tapi sudah lebih 20 tahun menggali kubur, belum pernah sekalipun ‘benda-benda’ itu mengacau.

Saya terus menonton hinggalah tiba-tiba ada bau kapur barus yang melintas. Baunya lembut dan datang sekali lalu.

Bau kapur barus, air mawar, minyak atar dan kayu gaharu datang berselang-seli… seperti ada mayat di dalam rumah kami.

“Ya ke ni?” kata saya di dalam hati. Saya cuba meraguinya dengan beranggapan ia cuma mainan perasaan. Namun dari semasa ke semasa, bau itu semakin kuat, diselang-seli antara kapur barus, air mawar, gaharu dan minyak atar.

Setengah jam berlalu, tiba-tiba kedengaran bunyi orang berjalan di luar rumah.

KSSEETTT… KSSEETTT… KKSSSEEETTT.

“Apa tu bang?” bisik isteri saya.

Saya pandang ke arah anak-anak yang ketakutan. Mereka juga tidak berani bersuara.

Dari depan tangga, bunyi orang berjalan itu bergerak ke sisi rumah, kemudian menghala ke dapur.

KKSSSEEETTT… KKKSSSEEETTT…

Bunyi itu datang semula dari arah dapur, seterusnya berhenti di hadapan tangga. Kami menunggu kalau-kalau ‘orang itu’ mengetuk pintu atau memberi salam. Senyap sunyi.

KSSSEETT… KKKSSSEEETTT… ia menapak lagi, selangkah demi selangkah ke arah dapur sebelum mara ke hadapan semula beberapa minit kemudian. Dalam waktu yang sama, wangian jenazah dikapan semakin kuat menyengat hidung.

“Saya dah cakap bang, arwah…” kata Milah. Saya diam saja.     

Bau dan bunyi aneh terus-menerus datang bersilih ganti. Anak, menantu dan cucu saya semuanya ketakutan hingga ada yang berpelukan.  

Bukan saya tidak hiraukan mereka, tapi perasaan saya ketika itu bergolak; sedih teringatkan arwah dan bingung memikirkan siapa yang merayau di luar sana? Manusia? Atau…?!!

Bunyi orang berjalan jelas kedengaran di pendengaran kami, dan apabila saya membuka pintu…!

Apabila ia masih berlarutan hingga menjelang pukul 1.00 pagi, saya bangun dari kerusi dan menghala ke pintu. Sebaik bunyi orang berjalan itu berhenti di hadapan rumah, saya kuak daun pintu dan nyalakan lampu.

Saya menoleh ke sekeliling. Tapi tiada sesiapa. Yang kelihatan hanyalah embun yang putih berkabut serta pokok-pokok di keliling rumah

Saya turun ke tanah. Bau kapur barus, air mawar, gaharu dan minyak atar menyentak ke lubang hidung. Saya pandang ke sekeliling dan menunggu. Sunyi sepi. Bunyi orang berjalan hilang begitu saja.

Sedetik demi sedetik berlalu. Setelah hampir seminit menunggu tapi ‘arwah’ tidak juga muncul, saya tarik nafas dalam-dalam.

“Shim…” kata saya perlahan. “Bukan aku tak mau sempurnakan mayat engkau. Kita kawan baik, tapi saudara-mara engkau nak bawa engkau balik ke kampung.

“Shim… baliklah ke tempat engkau.”

Saya terus berdiri di situ. Angin malam yang dingin membangkitkan rasa seram. Beberapa minit kemudian, saya dapati bauan yang mengiringi jenazah itu semakin tipis, seolah-olah menjauh. Lima minit kemudian, ia hilang begitu saja. Bunyi tapak kaki juga tidak kedengaran. Saya naik semula dan menutup pintu.

Shim… baliklah ke tempat engkau.

KEESOKANNYA, kawan yang biasa membantu saya menggali kubur, Mat, datang ke rumah.

“Macam mana urusan pengebumian arwah semalam?” tanya saya. Semalam, Mat turut menghantar jenazah Hashim ke kampungnya.   

“Lan, kesian aku tengok arwah,” katanya sambil menggeleng kepala.

“Kenapa?” saya bertanya, terkejut.

Menurut Mat, entah di mana silapnya, mayat Hashim tidak dapat dimasukkan ke dalam lahad kerana lubang berkenaan terlalu kecil dan pendek. Sedangkan tubuh arwah itu gemuk dan tinggi.

“Aku tak nampak pula dia orang besarkan lagi lahadnya. Tapi yang jelas depan mata, aku nampak mereka tekan arwah dengan kaki. Sedih betul, sampai berderap-derap bunyinya. Tulang arwah patah agaknya,” kata Mat.

Saya juga terharu mendengarnya. Tidak dapat hendak dibayangkan bagaimana seksanya arwah ketika itu. Sedangkan mayat dikalih semasa dimandikan pun terasa azab, inikan pula diperlakukan sedemikian rupa.

Sebaik Mat pulang, saya maklumkan ceritanya itu kepada Milah.

“Bang… agaknya, sebab tulah ‘dia’ balik dan keliling rumah kita,” kata isteri saya. Entahlah…

Petang hari yang sama, seorang lagi kawan saya datang ke rumah. Dia memberitahu, malam itu dia ternampak Hashim pulang.

“Aku nampak jelas. Rumah arwah tiba-tiba terang-benderang. Semua lampu terbuka. Peliklah… kan anak bininya semua kat kampung lagi.”

Walaupun rumah itu kosong, tetapi ramai yang melihat lampu terbuka sendiri dan ada kelibat orang di dalamnya.

Pada mulanya saya ragui ceritanya itu, tapi apabila seorang demi seorang memberitahu kisah yang sama, saya terdiam. Malah ada yang dengar bunyi orang mandi, berjalan dan lelaki batuk serta berdehem di dalam rumah arwah. Kejadian-kejadian aneh itu hanya berakhir selepas hari ke-40 pemergian Hashim.

“Mayat itu di dalam kuburnya adalah seperti orang yang karam di laut. Dia selalu menunggu-nunggu doa dari anaknya, dari bapanya, atau dari saudaranya, atau dari temannya. Kalau doa ini sampai kepadanya, maka dia lebih senang dari dunia dan segala yang terdapat di dunia ini.”  – Hadis riwayat Abu Manshur Dailami

Pencerita : Roslan Sabriti

—————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam