ismail
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. GAMBAR: Abd Razak Aid

HARI Raya Aidiladha tidak lama lagi dan ini menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkuasa jika ada pergerakan rentas daerah apatah lagi rentas negeri.

Justeru, dengan wabak COVID-19 berada di kemuncak penularannya ketika ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta supaya rakyat Malaysia kekal tidak pulang ke kampung sempena Aidiladha yang bakal disambut Selasa ini.

Kata Timbalan Perdana Menteri, sama ada yang di bawah kategori Fasa 1 atau Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), semua masih belum boleh berbuat demikian.

Malah Ismail Sabri turut mengingatkan bagaimana tindakan segelintir individu yang curi-curi rentas negeri pulang ke kampung ketika Aidilfitri Mei lalu telah melonjakkan kes baharu COVID-19 di beberapa negeri.

“Ada yang curi-curi balik, ramai yang ikut ikut lorong tikus dan sebagainya ketika Aidilfitri. Kalau kita lihat kes rentas negeri, kluster itu memuncak selepas itu (Aidilfitri).

“Kes di Terengganu misalnya, seluruh keluarga dijangkiti (COVID-19) dan ada yang meninggal dunia, begitu juga di Kelantan pun ada kes yang sama… jadi saya harap (kes-kes) itu menjadi iktibar kepada kita,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rakyat lain boleh bersabar, kenapa ada yang berdegil – TPM ulas 180 kilang langgar SOP

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan masyarakat agar bersabar sehingga negara sudah mencapai imuniti kelompok untuk diberi kebenaran merentas daerah dan negeri di Fasa 3 dan Fasa 4 PPN.

“Tolonglah, jangan rentas negeri dan rentas daerah. Insya-Allah kalau vaksin telah dapat kita berikan kepada rakyat, bila imuniti berkelompok sudah diperoleh (melalui) Fasa 3 atau Fasa 4, rentas daerah dan rentas negeri akan dibenarkan.

“Jadi tunggulah fasa yang akan datang, Fasa 3 boleh rentas daerah dan Fasa 4 boleh rentas negeri, jadi sabarlah sedikit,” jelasnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram