MUSIM haji tiba lagi. Ia mengingatkan saya kepada kisah yang berlaku kepada seorang sahabat saya bernama Mat, sewaktu dia mengambil upah menunaikan badal haji untuk Allahyarham anak seorang ahli perniagaan.
Kejadian itu berlaku ketika Mat masih lagi bertugas sebagai imam di selatan tanah air. Waktu itu usianya baru menjangkau 40 tahun. Sebenarnya sejak beberapa tahun melaksanakan upah haji, semuanya berjalan dengan lancar. Tiada perkara aneh yang berlaku, sehinggalah …
SUATU pagi Mat didatangi seorang ahli perniagaan yang meminta pertolongannya melaksanakan haji bagi pihak arwah anak lelakinya yang baru meninggal dunia.
“Fasal duit ustaz jangan bimbang. Saya akan sediakan secepat mungkin,” kata ahli perniagaan itu sebak, mungkin teringatkan anaknya.
Menurut lelaki berkenaan, anak lelakinya itu bekerja di syarikatnya. Dia meninggal dunia kira-kira enam bulan lalu. Ahli perniagaan itu kemudian terus bercerita serba sedikit mengenai latar belakang keluarganya.
“Sekarang ni saya rasa bertanggungjawab untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima bagi pihak anak saya tu. Saya mahu dia tenang di sana,” katanya lagi.
Setelah hampir setengah jam berbincang akhirnya Mat bersetuju. Setelah itu Mat pun menguruskan segala yang berkaitan, daripada dokumen perjalanan yang diperlukan, tempat penginapan dan sebagainya. Segalanya diuruskan dengan cepat kerana ruang waktu yang agak terhad.
Apabila tiba musim haji, Mat meninggalkan tanah air melalui sebuah agensi yang diiktiraf Tabung Haji. Berdasarkan pengalaman yang lalu, dia yakin segalanya pasti berjalan lancar. Insya-Allah.
Tiba di Mekah, semua berlaku seperti dirancang. Tempat penginapan, kenderaan dan sebagainya, terurus dengan baik tambahan pula Mat punya ramai kenalan di sana.

Bagaimanapun apabila sampai waktu untuk menunaikan sai sesuatu yang aneh berlaku pada diri Mat. Entah macam mana tiba-tiba dia merasakan seluruh tubuhnya begitu lemah. Kakinya amat berat untuk melangkah dan sesekali terasa seperti melekat di bumi.
Mat gagahkan juga, dia berjalan perlahan-lahan menghabiskan perjalanan dari Safa ke Marwa. Walaupun merasakan seperti terdapat beban yang amat berat digalas di belakangnya, demi amanah digagahinya seboleh mungkin melakukannya. Anehnya semakin lama, beban yang ditanggung semakin berat. Tubuhnya menjadi longlai. Setiap langkah terasa cukup payah untuk dilakukan.
Setiap dua langkah Mat terpaksa berhenti melepas lelah, kemudian dia menyambung perjalanannya semula. Mat berasa pelik kenapa terasa begitu penat. Belum pernah dia tercungap-cungap begitu seumur hidupnya, sekalipun melakukan kerja menebas, menebang di kebun.
Entah berapa kali Mat tersungkur di pertengahan jalan. Tujuh kali berulang alik dari Safa ke Marwa dirasakan beribu-ribu kilometer jauhnya. Padahal sebelum ini, tidak pernah dia merasa letih begitu.
Sebaik selesai ibadah sai, kawan saya itu segera menuju ke klinik berhampiran. Tapi anehnya doktor tidak dapat mengesan sebarang penyakit dalam tubuhnya.
“Awak sihat,” kata doktor itu lalu mencadangkan agar Mat mengambil vitamin yang dibekalkannya.
Keesokannya, Mat menyambung segala rukun-rukun haji yang belum selesai. Tetapi semakin lama terasa semakin berat badannya. Suatu pagi Mat merasakan tubuhnya teramat lesu. Dia tidak dapat menggerakkan kakinya. Akibat tidak tertahan dengan beban yang ditanggung, sahabat saya itu jatuh sakit.

Seminggu lamanya Mat terlantar di Hospital Mekah. Hatinya amat kesal memikirkan amanah orang. Tapi apakan daya dia tidak dapat menghabiskan ibadah yang diamanahkan kepadanya.
Sehingga habis musim haji barulah Mat dibenarkan pulang. Anehnya ketika hari terakhir di Tanah Suci, Mat berasa seperti satu benda yang berat terbang melayang-layang keluar dari tubuhnya. Selepas kejadian itu, dia terus sembuh seperti sedia kala.
Apabila tiba saja di tanah air, Mat terus pergi mendapatkan ahli perniagaan berkenaan. “Saya minta maaf encik. Saya tak dapat selesaikan semua rukun haji yang diamanahkan,” kata Mat.
Tetapi sebelum sempat Mat menghabiskan kata-katanya, ahli perniagaan itu memotong cakapnya. “Tak apa, ustaz. Saya halalkan segala perbelanjaan. Dan saya ucapkan terima kasih pada ustaz kerana telah berusaha sebaik mungkin,” katanya sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan Mat.
Bagaimanapun Mat tidak menceritakan kepada sesiapa pun peristiwa aneh yang dialaminya untuk mengelakkan sebarang fitnah. Rahsia itu cuma terdedah apabila kami berdua terserempak dengan salah seorang saudara kepada ahli perniagaan berkenaan beberapa bulan kemudian.
Ceritanya begini : Hari itu Mat ke pekan bersama saya. Di sebuah gerai, dia didatangi seorang pemuda yang memperkenalkan dirinya sebagai salah seorang anggota keluarga ahli perniagaan berkenaan. Selepas berbual mengenai hal ehwal semasa, dia bertanya mengenai ibadah haji yang diamanahkan untuk arwah saudaranya itu.
“Betul ke ustaz tak dapat selesaikan ibadah haji arwah saudara saya tu?” tanya pemuda itu memandang tepat ke arah Mat.
Sahabat saya termenung seketika. Dia memandang saya dengan perasaan serba salah takut apa yang akan dikatakan menimbulkan fitnah pula.
“Memang saya tak dapat habiskan haji tu. Kebetulan saya tak sihat di sana. Mungkin perubahan cuaca agaknya,” kata Mat cuba menjaga hati lelaki berkenaan.
“Tapi ustaz, saya rasa ini semua ada kena mengena dengan cara hidup Allahyarham semasa hayatnya,” kata pemuda itu lagi bersungguh-sungguh.
Menurut lelaki tersebut, dia amat rapat dengan anak ahli perniagaan itu. Mereka berdua sama-sama pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Kami berdua ni memang ‘hantu’… gemar berfoya-foya. Lepas balik dari luar negara hidup kami tiada pedoman langsung. Kami jahil, tidak kenal langsung tikar sembahyang. Yang kami kenal pub dan kelab malam. Perempuan jangan cerita, tak kira bangsa lagi!

“Agama bagi kami hanya tercatat dalam kad pengenalan. Kami tak pernah amalkan. Hidup kami bergelumang dengan dosa,” kata pemuda itu menahan sebak yang mengaku dia kini sudah bertaubat sejak saudaranya itu meninggal dunia.
Menurutnya, ketika itu arak sudah seperti air oren. Lama-kelamaan mereka mula berjinak-jinak dengan dadah. Gaji setiap bulan dihabiskan berjoli.
“Ketika itu kami hanya fikirkan keseronokan saja sehinggalah saudara saya tu meninggal dunia akibat macam-macam penyakit, termasuk mengambil dadah berlebihan,” katanya lagi.
Sambil bercerita, air matanya tak henti mengalir. Dia benar-benar telah insaf.
“Apabila saya mendapat tahu dari keluarga si mati tentang pengalaman ustaz semasa mengerjakan haji untuk arwah, saya rasa Allah mahu berikan petunjuk dan pedoman pada diri saya.
“Kerana itulah saya mencari ustaz. Syukur baru hari ini kita bertemu. Sekarang saya benar-benar telah insaf dan selalu selepas sembahyang saya mohon keampunan-Nya,” tambahnya lagi sambil memeluk Mat tiba-tiba, dan menangis teresak-esak.

“Tak tahulah saya nak cakap apa. Kita tidak boleh menghukum sesiapa. Sekarang ni kita doakan agar Allah mengampunkan segala dosa arwah,” kata Mat kepada pemuda itu.
Selepas kami bersalam-salaman dan berjanji akan bertemu lagi selepas bertukar-tukar alamat pejabat dan rumah serta nombor telefon dia melangkah sambil mengucapkan salam. Saya melepaskan sebuah keluhan, sementara mata Mat terus mengekori pemuda itu menuju ke keretanya.
Pencerita : Haji Mohammad Ssunaibari Mohd. Khalil
——————————————-
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam