Sebahagian daripada warga emas menerima suntikan Vaksin Covid-19 pada Program Vaksinasi Bergerak [email protected] di Projek Perumahan Rakyat Sg Bonus, Setapak, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

WARGA emas berusia 60 tahun ke atas di Lembah Klang yang masih belum menerima janji temu vaksinasi boleh hadir terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) secara walk-in mulai esok.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, ia sejajar dengan Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, warga emas yang telah menerima janji temu di aplikasi MySejahtera diminta hadir ke PPV mengikut tarikh janji temu yang telah diberikan.

Kata beliau, garis panduan akan disediakan di semua PPV untuk memastikan warga emas menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat mengambil kira jumlah kes semakin tinggi di Lembah Klang.

“Hasrat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) adalah untuk memastikan mereka mendapat perlindungan secepat mungkin. Warga emas yang hadir secara walk-in di PPV akan menggunakan laluan khas yang disediakan.

Baca artikel berkaitan: Penduduk dewasa di Lembah Klang divaksinasi menjelang 1 Ogos

“Bagi warga emas yang belum mendaftar di aplikasi MySejahtera atau laman web, pendaftaran dilakukan secara manual di PPV.

“Jika perlu terutama bagi warga emas yang tak memiliki aplikasi MySejahtera, petugas akan mendapatkan maklumat waris atau penjaga untuk dihubungi bagi peringatan vaksinasi dos kedua,” katanya dalam sidang akhbar mingguan CITF hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy turut memaklumkan Operasi Lonjakan Kapasiti yang akan dilaksanakan di Lembah Klang akan turut menyaksikan semua PPV yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Selangor akan dibuka untuk walk-in selepas 1 Ogos depan.

Beliau menjelaskan, ia bagi penduduk di Lembah Klang yang masih belum menerima vaksin menjelang 1 Ogos nanti.

“Bagi mereka yang tiada dalam sistem Jabatan Perangkaan termasuk sesiapa yang tiada dokumen atau migran tanpa dokumen, mereka boleh hadir ke PPV secara walk-in,” jelas beliau.

Khairy berkata, usaha memperhebatkan vaksinasi di Lembah Klang adalah sama apabila kerajaan akan melancarkan misi serupa di Labuan sebagai inisiatif kawalan wabak.

“Labuan telah berjaya mencapai 85.3 peratus populasi dewasa dengan kadar kebolehjangkitan adalah kedua terendah dalam negara iaitu 0.84 semalam.

“Kita harap hasil sama akan dicapai di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram