Apa yang pernah berlaku suatu waktu dahulu kini kembali menjadi bualan. Kahwin campur, istilah yang digunakan kepada pasangan yang berkahwin berlainan bangsa, agama dan keturunan. Zaman dahulu, orang Melayu yang berkahwin dengan bangsa asing bukan sahaja mendapat perhatian bahkan menjadi kebanggaan masyarakat sekeliling.

Dahulu, biasanya kes kahwin campur ini melibatkan warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing yang datang dengan cara terhormat ke Malaysia untuk bekerja sebagai ahli perniagaan, golongan profesional dan sebagainya. Paling penting, perkahwinan mereka mendapat restu kedua belah pihak.

Sekarang, kebanjiran warga asing yang datang dari seluruh pelosok dunia dengan pelbagai latar belakang sedikit sebanyak menyumbang kepada peningkatan kes kahwin dengan warga asing tanpa kelulusan. Banyak kes yang kita dengar, gadis tempatan kahwin warga asing di Lombok dan lelaki tempatan bernikah di sempadan Thailand tanpa mengikut prosedur yang sah.

PUNCA KAHWIN LARI

Istilah ‘kahwin lari’ merujuk kepada pernikahan yang dilalui oleh pasangan yang mengambil keputusan untuk berkahwin tanpa mengikut prosedur biasa atau undang-undang keluarga Islam negara ini.

Biasanya kes kahwin lari disebabkan hubungan tidak mendapat restu keluarga, kes lelaki yang ingin berpoligami tanpa kebenaran serta kes pasangan yang terpaksa segera bernikah disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.

Kahwin lari bukan sahaja mencalarkan ma- ruah keluarga, bahkan status perkahwinan yang tidak jelas dan tidak diiktiraf mengundang implikasi buruk yang hanya akan menjejaskan keutuhan perkahwinan tersebut.

Persoalannya, mengapa masih ramai masyarakat kita yang memilih untuk kahwin lari sedangkan mereka tahu akan risiko yang mungkin dihadapi di kemudian hari. Banyak masalah yang akan timbul apabila kahwin lari dijadikan jalan terakhir menyelamatkan hubungan.

Banyak kes kahwin lari dilaporkan di dada-dada akhbar. Paling membimbangkan kes kahwin lari ini melibatkan golongan muda bahkan ramai gadis sunti yang masih bersekolah sanggup lari mengikut kekasih dan berkahwin tanpa kebenaran ibu bapa apatah lagi tidak mengikut prosedur pernikahan yang sah.

Terdapat banyak lagi faktor lain mengapa wanita dan lelaki tempatan mengambil keputusan tidak bijak dengan berkahwin dengan warga asing di luar negara tanpa kelulusan. Pada waktu itu, mereka tidak peduli risiko di atas perbuatan yang dilakukan kerana matlamat mereka hanya satu iaitu mahu hidup bersama.

Macam-macam cara yang boleh dilakukan pasangan kahwin lari ini untuk merealisasikan kehendak mereka. Bukan saja sanggup meninggalkan keluarga, malah rela menjadi mangsa perkahwinan yang diuruskan sindiket.

Jika perkahwinan itu sah dari segi hukum syarak, mereka boleh memohon untuk mendaftarkan perkahwinan, tetapi sekiranya didapati pernikahan itu tidak sah, kesannya sangat besar dan ia menimbulkan pelbagai kesulitan sehingga terpaksa naik turun mahkamah untuk tempoh yang panjang.

RISIKO KAHWIN TANPA PROSEDUR YANG SAH

Dek kerana tidak mendapat restu tetapi tetap mahu berkahwin dengan pilihan hati, maka si gadis tempatan terpaksa lari mengikut kekasihnya si warga asing dan berkahwin di luar daerah menggunakan khidmat wali hakim tanpa pengetahuan ibu bapa.

Perlu ditegaskan di sini bahawa, wali hakim hanya berperanan dalam situasi bapa masih wujud dan sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan iaitu dalam keadaan yang memenuhi hukum syarak. Sekiranya keengganan wali asal itu atas sebab-sebab yang munasabah, wali asal ada hak untuk memohon membatalkan pernikahan tersebut.

Pejabat agama perlu memastikan bahawa segala dokumen pernikahan di luar kawasan disediakan sebagai bukti pernikahan telah berlaku.

Selain risiko perkahwinan tidak diiktiraf, risiko lain yang tidak kurang pentingnya apabila anak-anak yang lahir hasil perkahwinan tidak sah akan menerima kesan buruk. Bermula dengan perkara-perkara asas seperti pendaftaran persekolahan sehinggalah apabila pasangan bercerai, masalah dalam hal tuntutan hak penjagaan anak dan tuntutan harta pula timbul.

Bagi pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan pula, risiko yang bakal dihadapi si isteri adalah kehilangan hak apabila berlaku perceraian atau kematian suami. Banyak kes di mana suami gagal menjalankan tanggungjawabnya tetapi malangnya si isteri tidak boleh menuntut haknya di mahkamah selagi mereka tidak mendaftarkan perkahwinan di dalam negara.

PERANAN IBU BAPA

Dalam membendung dan menangani kes sebegini, ibu bapa memainkan peranan yang paling utama. Ibu bapa perlu mengawasi serta peka dengan pergaulan anak lebih-lebih lagi remaja zaman sekarang langkahnya lebih panjang dan cenderung membuat keputusan sendiri.

Pada usia remaja, naluri untuk dicintai dan mencintai seseorang mula hadir. Dalam usia sebegini, ramai di kalangan remaja yang telah mula mengenal dan pandai bermain cinta. Jangan hairan kalau anak yang masih bersekolah menengah sudah pun mempunyai teman istimewa. Jangan pula terkejut kalau teman istimewanya itu berbangsa asing. Mungkin berkenalan di pusat membeli-belah, ketika menunggu bas sekolah ataupun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ibu bapa yang peka sudah pasti dapat menghidu perlakuan pelik anak-anak yang tiba- tiba tersenyum sendirian, bergayut lama di telefon, sering pulang lewat dari sekolah atau pun selalu menghabiskan cuti hari minggu di luar bersama kawan.

Ada dua situasi berbeza apabila bercakap tentang hubungan anak-anak dengan ibu bapa. Anak yang rapat dengan ibu bapa lazimnya akan berkongsi banyak perkara termasuk hal peribadi dengan keluarga. Manakala anak yang tidak rapat dengan keluarga tidak akan berkongsi masalah dengan ibu bapanya. Mereka cenderung menyembunyikan hubungan cintanya dengan teman lelaki kerana tahu bahawa ibu bapa tentu sekali tidak bersetuju dengan pilihannya.

Ibu bapa yang berfikiran positif pasti dapat menerima pilihan si anak dan sedia menguruskan perkahwinan tersebut. Jika anak sudah terlanjur, ada baiknya ibu bapa mengambil tindakan sewajarnya, bukannya mengeruhkan lagi keadaan.

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu rasional dan jika pasangan yang dipilih si anak difikirkan sesuai, tiada salahnya merestui sahaja perhubungan tersebut demi kebahagiaan mereka. Memberikan restu adalah lebih baik berbanding mengambil risiko anak kahwin lari dengan warga asing di luar negara.