SEAWAL usia 21 tahun, penyanyi berbakat besar Masya Masyitah boleh tersenyum bangga melihat pencapaian yang diraih pada hari ini.

Masakan tidak, sejak menceburi bidang seni suara, empunya nama penuh Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff tidak pernah melupakan tulang belakangnya iaitu keluarga.

Sering mendahulukan ibu dan bapa dalam segenap perkara membuatkan rezeki Masya sentiasa murah sehingga mampu membeli dua buah rumah pada usia yang agak muda.

Terbaharu, pelantun lagu Halimunan itu bakal berpindah ke rumah tiga tingkat jenis Semi-D di Kajang, Selangor yang dibeli nya pada Disember tahun lalu.

“Syukur alhamdulillah impian saya nak beli sebuah rumah yang selesa untuk seisi keluarga akhirnya tercapai penghujung tahun lalu.

“Saya membeli rumah tersebut menggunakan wang kemenangan Yippi Star Quest 2020 yang diadakan pada Oktober tahun lalu.

“Rumah masih dalam pengubah suaian dan Insya-Allah jika tiada sebarang halangan, saya sekeluarga akan berpindah ke rumah baharu pada penghujung tahun hadapan,” katanya kepada URTV.

Sebelum ini, Masya pernah membeli rumah pertama iaitu sebuah kondomininum yang terletak di Puchong, Selangor secara tunai, tiga tahun lalu.

Ujar Masya, sebelum ini dia hanya tinggal berdua bersama ibunya, Zalilah Mat Nor,52. Manakala bapa, dua abang dan adik lelakinya menetap di kampung halaman mereka, Kulim, Kedah.

“Ayah dan adik-beradik lain tinggal di Kulim, hanya saya dan ibu sahaja tinggal di Puchong.

“Lagipun lagi dua tahun ayah akan pencen jadi niat saya tinggal bersama seperti sebuah keluarga akan tertunai tak lama lagi.

“Saya gembira dan puas hati kerana dapat memberi keselesaan kepada keluarga…memang tak sabar nak duduk sama-sama, dah tak mahu berjauhan lagi,” ujarnya.