Operasi mencari mangsa yang hilang turut dibantu anggota tentera Indonesia. Foto GAMBAR HIASAN


SEBANYAK 17 bot nelayan Indonesia karam di perairan Kalimantan Barat akibat cuaca buruk  malam Selasa lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 orang kru meninggal dunia dan 42 lagi masih hilang.

CNN Indonesia melaporkan, Ketua Jabatan Mencari dan Menyelamat (SAR) Pontianak, Yopi Haryadi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lapan bot berjaya ditemukan manakala sembilan lagi masih hilang.

Menurutnya, daripada 134 orang kru terbabit dalam nahas itu, sebanyak 77 orang dilaporkan selamat manakala 42 lagi hilang dan 10 orang lagi meninggal dunia manakala 5 orang mangsa masih belum dikenalpasti.

“Terbaharu kami menerima laporan pertambahan sebuah lagi bot nelayan karam iaitu bot nelayan CSSK yang membawa tiga orang kru dan kali terakhir dikesan di Pulau Lemukutan.

“Namun hingga saat ini, mangsa masih belum dapat dihubungi dan belum kembali ke rumah,” katanya hari ini.

Yopi memberitahu, dalam operasi SAR hari ini, mereka dibantu anggota tentera darat melakukan pencarian terhadap 42 mangsa hilang di kawasan di daratan atau pesisir pantai.

Ujarnya, kaedah itu dibuat selepas percaya mangsa kebarangkalian besarnya sudah terdampar di pesisir pantai.

“Hari ini, operasi SAR kami dibantu 20 bot mencari dari pelbagai agensi selain dibantu sebuah helikopter Lanud Supadio Pontianak dan sebuah pesawat maritim tentera darat,” katanya.