balik
APABILA balik beraya, tradisi bersalam dan memohon maaf akan menyebabkan virus COVID-19 mudah merebak. - GAMBAR HIASAN

HARI Raya Aidiladha akan disambut di seluruh negara Selasa ini tetapi telah dapat dilihat semakin banyak kenderaan menuju ke kampung-kampung, terutama ke negeri-negeri pantai Timur.

Seperti yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, maka akan tercetuslah kluster baharu yang disebabkan aktiviti balik kampung oleh individu atau keluarga yang berjaya merentas negeri.

Di Kelantan, tindakan perantau pulang ke kampung untuk menziarahi keluarga telah dikesan menjadi punca kepada terjadinya Kluster Kampung Bujuk, dekat Pasir Mas, semalam.

Kluster berkenaan yang membabitkan Kampung Bujuk dan Petaling, Selangor adalah salah satu daripada tiga kluster yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini, Kluster Kampung Bujuk, Tok Uban merekodkan sebanyak 14 kes.

Katanya, kluster berkenaan membabitkan komuniti di sebuah kawasan perumahan yang terletak di Kampung Bujuk.

BERITA BERKAITAN Degil nak balik raya, tak perlu salah sesiapa bila kes naik – Pengarah Kesihatan Terengganu

“Kes indeks bagi kluster ini ialah lelaki berusia 39 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kes mula bergejala pada 1 Julai dan pulang ke Kelantan dari Selangor pada 2 Julai hingga 5 Julai untuk menziarahi keluarga.

“Hasil saringan 17 individu mendapati 14 daripadanya adalah positif COVID-19 termasuk satu kes baharu semalam,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Dr. Zaini berkata, dua lagi kluster yang dilaporkan yang turut membabitkan komuniti ialah Kluster Kampung Tanjung Tok Sadang, Pengkalan Chepa yang mencatat 11 kes baharu dan Kluster Kampung Kepas, Machang merekodkan empat kes baharu.

Beliau berkata, pengalaman semasa Ramadan, Aidilfitri dan aktiviti ziarah-menziarah menimbulkan banyak kluster serta meningkatkan kes harian di Kelantan dan ada yang menyebabkan kematian.

“Selain daripada kerisauan bilangan kes, varian baharu yang selama ini tiada di Kelantan mungkin akan menular. Buat masa ini adalah dinasihatkan supaya orang ramai tidak merentas negeri dan daerah sekiranya tidak ada keperluan yang penting.

“Sayangi keluarga dan mereka yang boleh terjejas akibat tindakan kita. Patuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah lengkap vaksin,” katanya.

Semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 211 kes Covid-19 baharu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram