keutamaan puasa hari arafah

Insya Allah esok, Isnin, 19 Julai, jatuhnya hari Arafah, iaitu 9 Dzulhijjah. Hari Arafah merupakan salah satu hari paling mulia dalam Islam di mana saat ini umat Islam yang mengerjakan ibadah haji akan melakukan wukuf di Arafah iaitu hari kemuncak kepada ibadah haji.

Sabda Baginda s.a.w “Ibadah haji itu sah dengan berwukuf di Arafah.”

Hari esok juga merupakan hari kemerdekaan hamba Nya dari api neraka di mana Baginda s.a.w. bersabda,

“Hari yang Allah memerdekakan paling ramai hamba-Nya dari api neraka ialah hari Arafah. Dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka. Kemudian Allah melahirkan kebanggaan-Nya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman,

“Apakah yang mereka kehendaki?

Dalam Riwayat yang lain pula Baginda s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Taala melahirkan kebanggaan-Nya kepada para malaikat-Nya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah lantas berfirman,

“Lihatlah kamu kepada hamba-hamba Ku yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai dan berdebu.” – HR Muslim

Amalan Rasulullah s.a.w. 

Pada hari Arafah, Baginda s.a.w. lazimnya akan berpuasa sunat dan amalan ini tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. Ini menunjukkan keutamaannya yang luar biasa sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis Baginda s.a.w. antaranya,

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang puasa hari Arafah dan beliau bersabda,

Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun yang akan datang.” – HR Muslim

An-Nasai dan Ahmad dalam hadis riwayatnya menyebutkan bahawa,

“Ada empat perkara yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu puasa asyura, puasa hari Arafah, puasa tiga hari setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum subuh.”

Dalam Riwayat yang lain, Baginda s.a.w. turut berpesan bahawa,

“Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah S.W.T. melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini iaitu (10 hari pertama bulan Dzulhijjah).” – HR Abu Daud dan Ibnu Majah

Hari Arafah adalah kemuncak kepada ibadah haji

Dari hadis-hadis yang disebutkan di atas, jelaslah pada kita bahawa puasa hari Arafah menjadi keutamaan Baginda s.a.w. apatah lagi dengan ganjaran penghapusan dosa selama dua tahun iaitu dosa yang telah dilakukan dan yang akan dilakukan nanti.

Lafaz niat puasa Arafah 

Adapun lafaz niat puasa sunat hari Arafah adalah,

“Nawaitu souma ghodin min yaumil arafah, sunnatan lillaahi ta’ala.”

(Sahaja aku berniat puasa sunat hari arafah kerana Allah ta’ala.)

_____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram