Di kala negara bergelut berperang dengan wabak Covid-19 yang semakin mengganas, rakyat dikejutkan dengan kisah tragis remaja Sindrom Down, Bella, 13 yang dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Kisah ini turut mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial. Malah sehingga kini, foto menunjukkan kecederaannya masih berlegar di laman sosial sebagai tuntutan agar proses perbicaraan dilakukan secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, Dr Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist memohon agar gambar dan video Bella yang dipadam demi kebaikan remaja terbabit.

Dia turut menjelaskan beberapa sebab mengapa gambar kanak-kanak didera tidak boleh dimuatnaik di laman sosial.

Ikuti perkongsiannya.

#JusticeForBella

Saya harap semua yang pernah kongsikan gambar atau video Bella, boleh padam gambar/video tersebut demi kebaikan Bella.

Kenapa kita tidak boleh muatnaik gambar kanak-kanak yang didera di media sosial?

Menurut UNICEF , ada 5 sebab iaitu:

1. INTERNET TIDAK PERNAH LUPA

Selamanya gambar didera itu wujud dimedia sosial dan akan beri trauma kepada mangsa setiap kali melihat gambar atau video tersebut.

2. LAGI TERSEBAR, LAGI SUSAH NAK CARI/DAKWA PELAKU

Bila ramai yang kongsikan gambar atau video, kualitinya akan semakin rendah membuatkan proses pengecaman jadi makin rumit. Lagi mudah pelaku untuk sembunyikan diri.

3. MEMBERI STIGMA KEPADA KANAK-KANAK

Kita dah boleh lihat saat ini, akan ada sahaja pihak yang “victim blaming” dan menangkan pelaku walaupun kes masih dalam siasatan polis. Lagi-lagi kes penderaan seksual, akan ada masyarakat yang memandang serong atau memulaukan mangsa.

4. MELANGGAR HAK MARUAH KANAK-KANAK

“Article 16 of the Convention on the Rights of a Child provides that no child should be subjected to any interference with his/her privacy or attacks to his/her honour and reputation.”

Walaupun kita niat nak membantu tetapi sebenarnya secara tak langsung tindakan kita boleh mendatangkan masalah atau memalukan mangsa. Terutamanya bila gambar/video sentiasa dikongsi di media sosial sehingga mangsa dewasa.

5. MUNGKIN ITU BUKAN KEMAHUAN KANAK-KANAK

Walaupun ibu/bapa/penjaga mangsa beri kebenaran untuk kongsikan tetapi kita tidak tahu sama ada itu yang mangsa mahukan ataupun tidak sebab yang menghadapinya adalah mereka.

Dikesempatan ini, saya juga ingin memohon maaf kerana terlepas pandang tentang hal ini. Kadang-kadang kita rasa dengan tindakan kita membantu tetapi sebenarnya kesan buruk lebih banyak dari kesan baik.

Terima kasih kepada yang PM saya tentang hal ini, saya amat hargainya dan sudah padam gambar tersebut, akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Saya harap semua yang pernah kongsikan gambar/video adik Bella boleh berbuat demikian demi kebaikan adik Bella.

Saya cuma fikir dan anggap Bella seperti adik sendiri, kalau contohnya isu ini berlaku kepada adik saya dan gambarnya disebar sana sini pasti akan beri trauma besar kepadanya sampai bila-bila.

Panjang lagi perjalanan hidup adik Bella, suatu masa nanti bila adik Bella dah besar dan sudah berdikari pasti akan datang perasaan malu bila melihat gambar diri sendiri dalam keadaan “disyaki” didera. Sampai sudah orang akan label

“Inilah dia yang pernah kena dera dulu”.

Apatah lagi melihat gambar tubuh badan sendiri terdedah untuk tatapan umum.

Saya harap siasatan berjalan lancar, banyak sangat desas desus berlegar-legar di media sosial sampai keliru mana maklumat betul dan salah. Disebabkan kes ini mendapat perhatian orang ramai, saya harap ada berita sahih yang dikeluarkan oleh pihak polis sendiri secepat mungkin.

Terima kasih, semoga bermanfaat.

Maryam Jamadi

Mengharapkan yang terbaik untuk adik Bella.”

Sumber : Maryam Jamadi