Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Convention Centre, Petaling Jaya 27 Jun lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

PROGRAM Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang berjaya memberikan kira-kira 400,000 dos sehari ketika ini akan ditingkatkan lagi bagi mencapai kadar suntikan sehingga setengah juta dos sehari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan ini, 100 peratus populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada bulan Oktober ini.

“Jadual asalnya, 80 peratus penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Sasaran ini kemudiannya dipercepatkan ke Disember 2021.

“Kini, dengan penemuan varian-varian baharu COVID-19 yang lebih ganas dan kes-kes positif meningkat dengan mendadak, sasaran program vaksinasi dipercepatkan lagi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam satu hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Menurut Muhyiddin, vaksinasi adalah kunci utama kejayaan melawan COVID-19 dan oleh itu kerajaan telah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin.

Katanya, ia terdiri daripada 70 peratus Pfizer, 23.4 peratus Sinovac, 10 peratus Astrazaneca, 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti COVAX.

“Setakat ini kita telah terima 20 juta dos dari keseluruhan jumlah vaksin yang ditempah.

“Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada bulan Ogos, 53 juta dos pada bulan September dan 58 juta dos pada bulan Oktober.

“Baki selebihnya akan diterima antara bulan November 2021 hingga Januari 2022,” jelasnya.

muhyiddin pkp
PICK bermula 24 Februari lalu dengan Muhyiddin Yassin menjadi individu terawal menerimanya./ Gambar FB KKM

Baca artikel berkaitan: Lebih 40 peratus populasi dewasa telah terima dos pertama vaksin

Vaksinasi bersejarah bermula, Muhyiddin selesai disuntik dos pertama

Tambah Muhyiddin, 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos 2021 di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti.

Katanya, 100 peratus populasi dewasa di Sarawak akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir Ogos.

“Hampir semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus pada akhir bulan Ogos 2021.

“Semua negeri akan mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 70 peratus pada bulan September 2021.

“Insya-Allah. Kita terus istiqamah,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram