Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor./ Gambar FB Selangor Royal Office.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap sambutan Hari Raya Aidiladha diraikan dalam suasana sederhana dengan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga menitahkan umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak COVID-19 dan kematian.

“Baginda amat bimbang sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

“Baginda mengambil kesempatan ini untuk menasihati umat Islam agar menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang tidak terkawal,” kata hantaran itu berhubung Titah Perutusan Sultan Selangor sempena Aidiladha 1442 Hijrah.

Baca artikel berkaitan: Aidiladha: Dokumen MITI ‘tak laku’ rentas negeri 4 hari

Menerusi titah itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

“Oleh itu, baginda menggesa orang Melayu Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT, serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat,” titah perutusan itu.

Menerusi hantaran itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram