Sebahagian daripada ibu-ibu mengandung menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sunway Convention Centre, Petaling jaya, hbaru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

BADAN Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memaklumkan bahawa inisiatif ‘walk-in’ yang diperkenalkan mulai Ogos ini adalah untuk golongan yang tercicir dan belum mendapat janji temu selepas tarikh tersebut dan bukan untuk orang ramai yang sudah pun diberikan janji temu masing-masing.

Badan itu dalam satu kenyataan menyatakan contoh golongan yang belum mendapat janji temu itu adalah mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan seperti yang diterangkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin sebelum ini.

“Individu di Kuala Lumpur dan Selangor yang telah mendaftar sebelum ini akan diberikan janji temu dalam masa terdekat. Individu yang masih belum mendaftar, tetapi tiada kekangan untuk berbuat demikian, juga digalakkan untuk mendaftar untuk vaksinasi secepat mungkin,” kata kenyataan itu bagi menjelaskan mengenai inisiatif tersebut yang tular.

CITF juga ingin memaklumkan bahawa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan beroperasi untuk tujuan ‘walk-in’ pada bulan Ogos nanti akan dikemas kini dan dimaklumkan kelak, di mana bukan kesemua PPV yang ada sekarang akan dibuka untuk inisiatif ‘walk-in’ tersebut.

Dalam pada itu, CITF ingin menyeru agar mereka yang telah menerima janji temu vaksin untuk menghadiri janji temu pada tarikh dan lokasi PPV yang telah diberikan.

“Ini mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas, kes COVID-19 yang tinggi dan keperluan untuk mendapat perlindungan melalui vaksin secepat mungkin,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram