tanam
KERJA-kerja menanam semula pokok-pokok hutan giat dijalankan. - Gambar Fikrah Pahang

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah menanam 12,295 pokok hutan pelbagai spesies di Hutan Simpan Kekal Batu Talam yang sebelum ini diteroka secara haram, sehingga semalam.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat JPNP, Wan Ghazali Wan Ali berkata, program menanam pokok hutan terdiri daripada jenis Merawan, Meranti, Balau, Keruing dan beberapa spesies lain dilakukan hingga selesai.

“Kira-kira 20,000 pokok akan ditanam dalam kawasan seluas 101 hektar,” katanya memetika laporan Harian Metro.

Katanya, selain itu, sebanyak 610 pokok nadir spesies tampoi dan sentul juga ditanam di kawasan hutan simpan tersebut yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram sebelum ini.

PPH Pahang Barat menyatakan mereka juga akan menanam pokok ara di kawasan lembah serta tepi sumber air di kawasan tersebut yang menjadikannya kembali sebagai hutan semula jadi.

Wan Ghazali berkata, 20 pokok sentul dan 410 pokok tampoi berumur enam bulan hingga setahun sudah ditanam dalam kawasan yang berbukit itu.

“Saya yakin dua spesies pokok nadir berkenaan mampu hidup subur di kawasan hutan simpan terbabit yang persekitarannya agak sejuk dan berangin serta yang tanah subur.

“Difahamkan dalam masa antara 12 hingga 15 tahun akan datang pokok berkenaan yang mencapai ketinggian beberapa meter akan mengeluarkan hasil,” katanya.

Beliau menambah, pokok nadir ditanam bagi menjadikan kawasan terbabit sebagai hutan semulajadi kerana pokok tampoi dan sentul antara pokok hutan di negeri ini.

Hutan Simpan Kekal Batu Talam menjadi lokasi Operasi Pamah bermula 3 Julai lalu selepas ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang mengusahakan kebun durian secara haram.

Hutan Simpan Batu Talam juga merupakan kawasan tadahan air yang diwartakan pada 2002, sekiranya pencemaran berlaku ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini.