Perkataan undang-undang telah banyak didefinisikan oleh ahli-ahli falsafah terutama dari Barat. Austin mendefinisikan undang-undang sebagai perintah yang dikeluarkan oleh satu badan yang berkuasa untuk masyarakat awam dan dikuatkuasakan melalui hukuman.

Dalam konteks negara Malaysia, undang-undang boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu undang-undang konvensional dan undang-undang Islam.

Undang-undang jenis pertama lebih membawa maksud undang-undang sekular, dibuat oleh manusia sama ada berbentuk bertulis oleh badan-badan perundangan atau tidak bertulis yang melibatkan keputusan-keputusan mahkamah. Undang-undang ini lebih mudah dilentur dan dipinda bila-bila masa mengikut keperluan melalui proses-proses tertentu.

Undang-undang Islam pula merujuk kepada undang-undang berasaskan al-Quran dan al- Sunnah atau sebarang dalil-dalil yang diperakui oleh syarak. Kebiasaannya, apabila disebut undang-undang Islam, ramai yang mengaitkannya kepada beberapa istilah seperti syariat, hukum dan juga fikah walaupun pada hakikatnya istilah-istilah tersebut sebenarnya mempunyai definisi-definisi yang tersendiri.

Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid telah merumuskan bahawa undang-undang Islam merujuk kepada satu istilah khusus yang menggambarkan norma-norma hukum yang telah dibentuk sebagai undang-undang melalui proses tertentu (seperti ijtihad dan proses tertentu penggubalan undang-undang) untuk dilaksanakan atau dikuatkuasakan melalui mekanisma yang ada berdasarkan prosedur atau tatacara yang telah ditetapkan (Mahmood Zuhdi, 2:1997).

Undang-undang Malaysia tidak memasukkan undang-undang Islam sebagai sebahagian daripada makna undang-undang rentetan daripada kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang mengatasi undang-undang lain di Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan walaupun Perkara 3 Perlembagaan ini memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

HAK SEORANG WANITA

Apabila perkataan wanita cuba dikaitkan dengan undang-undang, kebiasaannya perkaitan ini lebih sinonim dengan persoalan hak-hak mereka yang diiktiraf oleh undang- undang sama ada dalam konteks sivil atau jenayahnya. Dalam konteks undang-undang Islam, hak-hak tersebut sememangnya sangat diambil perhatian dan diberi pengiktirafan yang sebahagiannya meliputi:

● Hak sebagai anak seperti penyusuan, penjagaan, nafkah, pendidikan, perkahwinan, pemilikan harta dan pewarisan.

● Hak sebagai isteri seperti mas kahwin, nafkah (zahir dan batin), pergaulan dan layanan yang baik dan adil serta bimbingan atau tunjuk ajar dari suami dan harta pusaka.

● Hak isteri selepas perceraian (hidup atau mati) dan sebarang bentuk pembubaran perkahwinan meliputi hak nafkah, tempat tinggal, mutaah, penjagaan anak dan harta sepencarian.

● Hak sebagai ibu seperti kebajikan, perhatian dan penghormatan serta harta pusaka.

● Hak dalam interaksi sosial seperti pemilikan harta, pendidikan, muamalat dan perlindungan diri.

● Hak dalam pentadbiran keadilan dan kehakiman seperti saksi wanita dan perlindungan serta toleransi dalam undang-undang jenayah Islam.

WANITA DALAM UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM

Sememangnya, hakikat yang berlaku, apabila isu hak wanita ditimbulkan, maka undang-undang kekeluargaanlah yang sering menjadi sample masalah. Dan apabila undang-undang kekeluargaan menjadi perkara pokok, maka Mahkamah Syariahlah yang akan menjadi subjek dan sasarannya.

Sistem perundangan dan kehakiman Islam dari aspek pelaksanaan, penguatkuasaan dan pentadbirannya tidak sepatutnya dijadikan sebagai salah satu faktor penyumbang berlakunya penganiayaan dan pengabaian hak wanita seperti yang telah banyak digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Sepatutnya fenomena ini dilihat secara menyeluruh, adil dan matang. Ketidakpekaan dan salah faham terhadap undang-undang yang sedia ada, prosedur, objektif penggubalan, masalah kerjasama pihak-pihak yang terlibat, sikap prejudis dan persepsi negatif terhadap pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang Islam, sebenarnya banyak menyumbang ke arah wujudnya dilema dalam proses mengenal pasti punca utama berlaku penganiayaan dan pengabaian hak wanita.

Walau bagaimanapun, agak membanggakan apabila kelihatan semakin ramai golongan wanita yang semakin peka dengan perkembangan pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang yang dapat memberikan perlindungan kepada mereka menerusi pelbagai saluran literasi undang-undang sama ada secara formal (pendidikan undang-undang Islam di mana-mana institusi, seminar, bengkel, kursus, ceramah, khidmat klinik guaman) atau tidak formal (pembacaan dan saluran media massa yang pelbagai, khidmat nasihat, juga mungkin melalui pengalaman peribadi terlibat dengan kes-kes di mahkamah).

Undang-undang sepatutnya dilihat dari perspektif yang lebih matang, bukan secara emosi dan bukan juga alat untuk membina ego, sebagai landasan untuk membina kekuatan mempertahankan hak-hak yang sedia ada, sekali gus membina kesedaran kalangan kaum lelaki.

Pentadbiran undang-undang kekeluargaan Islam di Malaysia, sama ada daripada aspek undang-undang substantifnya, prosedur mahupun aspek keterangan menampakkan perkembangan yang positif dan boleh dijadikan sebagai contoh dalam merealisasikan usaha untuk terus membantu dan melindungi kaum wanita secara menyeluruh.

Peruntukan-peruntukan dalam perundangan sedia ada sudah banyak diseragamkan dan tidak banyak perbezaan di antara satu negeri dengan negeri yang lain. Apatah lagi selepas pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan larangan campur tangan Mahkamah Tinggi Sivil terhadap bidang kuasa Mahkamah-mahkamah Syariah.

Apa yang penting, kebanyakan persoalan pokok berkaitan hak dan perlindungan wanita tidak diabaikan. Perkembangan terbaru apabila pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah menubuhkan Biro Sokongan Keluarga (BSK) khusus membantu mana-mana wanita atau isteri yang berhadapan dengan masalah-masalah yang berbangkit selepas mahkamah mengeluarkan sebarang perintah terutama kerjasama pihak satu lagi khususnya suami yang kadang-kadang gagal atau enggan melaksanakan perintah mahkamah.

Bahagian akhir isu ini akan membincang dan merumuskan hak-hak wanita sebelum, semasa dan selepas perkahwinan seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia.

Penulis : AZIZAH MOHD. RAPINI