POLIS Kedah menafikan satu laporan portal berita seorang wanita mendakwa yang membuat laporan polis kerana telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, Polis Kedah terkesan dengan laporan berita wanita tersebut telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 12 tahun hidup bersama suaminya di Sungai Petani.

Kamarul Zaman bagaimanapun mengesahkan polis menerima laporan dibuat mangsa pada 4 April lalu pada pukul 12.30 malam di Balai Polis Sungai Petani.

Walau bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, pada peringkat awal tujuan mangsa membuat laporan adalah bagi urusan pembatan perkahwinannya.

Kata beliau, pengadu telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sekali lagi pada 29 April untuk meneruskan kes dan mahu memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO).

Baca artikel berkaitan: Polis beri amaran jangan degil rentas negeri sambut Aidiladha

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga kerana dicederakan suami.

“Anak-anak mangsa berumur 9 dan 7 tahun telah dirujuk ke Pusat Rakaman Kanak-Kanak (CIC) untuk rakaman keterangan dan juga telah dirujuk dengan Kaunselor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk tujuan siasatan.

“Dua tangkapan telah dibuat pada 3 Mei bagi membantu siasatan dengan pegawai penyiasat telah menyerahkan IPO kepada suspek pada 28 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, siasatan telah pun selesai dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Pihak polis menafikan dakwaan penulisan portal berita tersebut dan memohon mangsa menghubungi pegawai penyiasat kes sekiranya terdapat sebarang maklumat atau pertanyaan berkenaan laporan polis yang telah dibuat,” jelas beliau.

Baru-baru ini, sebuah portal berita dalam talian mengeluarkan laporan seorang wanita yang mendakwa telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga selama 12 tahun hidup bersama suaminya di Sungai Petani, Kedah.

Mangsa mendakwa telah membuat sebanyak lapan laporan polis namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram