KERAJAAN telah meluluskan kebenaran sebarang aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dilihat sebagai satu usaha berterusan kerajaan bagi merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni kreatif melalui daya saing pengeluaran produk dan peluang pekerjaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kelulusan aktiviti penggambaran pada Fasa Dua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Inisiatif PREP ini adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat-syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) FINAS.

“Kategori yang dibenarkan meneruskan penggambaran adalah syarikat produksi drama, iklan dan dokumentari yang Terdahulu nya telah menangguhkan penggambaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Fasa Satu PPN.

“Aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada di status fasa dua dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio.

“Syarikat produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah PREP yang membabitkan jumlah tenaga produksi yang minima serta tidak dibenarkan keluar daripada radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran.

“Untuk tujuan tersebut, setiap produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baharu.

“Penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19, menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran

“Serta pelantikan Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Saya juga menyeru supaya syarikat produksi mematuhi semua syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi wabak COVID-19,” ujarnya.

Bagi mengeetahu informasi lebih lanjut mengenai SOP dan garis panduan boleh didapati menerusi laman sesawang KKMM di www.kkmm.gov.my dan FINAS di www.finas.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi FINAS dalam talian 03-41041300 atau e-mel di [email protected]