Ebit Lew bersama Nadir Al-Nuri di Gaza bulan lalu.

BARU sahaja hendak reda, kini kembali hangat isu melibatkan misi bantuan seorang pendakwah terkenal di Gaza baru-baru ini.

Sebelum ini Caprice membangkitkan rasa tidak puas hatinya ke atas misi Ustaz Ebit Lew namun penyanyi rap itu kemudian dilaporkan sedia menjernihkan suasana.

Namun isu sama kembali hangat diperkatakan di media sosial hari ini susulan dakwaan terbaru oleh aktivis Malaysia yang berpangkalan di Gaza.

Malah, Muhammad Nadir Al-Nuri juga dilaporkan satu-satunya rakyat Malaysia yang berada di Gaza dan beliau terlibat langsung menguruskan sumbangan kepada penduduk wilayah bergolak itu.

Menerusi saluran Telegram miliknya, Nadir dengan panjang lebar membangkitkan banyak perkara berkaitan misi bantuan pendakwah yang dikagumi ramai itu.

Antaranya, Nadir mempersoalkan kaedah pasukan Ebit Lew yang didakwanya memberi kesan besar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Kenapa kaedah tim Ebit Lew memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGO boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi.

“Ini kerana hasil desakan dan kesungguhan pihak kerajaan membuat kerjasama Malaysia-Mesir hanya untuk melepaskan misi tim Ebit Lew berjaya masuk ke Gaza tidak kira berapa pun kos yang perlu dibayar tanpa menghiraukan kesan besar selepas itu.

“Hasil desakan tersebut mereka berjaya masuk dengan syarat penggunaan khidmat syarikat Hala untuk masuk. Syarikat Hala bukan rahsia untuk penduduk Gaza,” katanya.

Dakwa Nuri, khidmat tersebut boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang mampu membayar kosnya, iaitu AS$1,200/ orang untuk orang tempatan bagi perjalanan masuk dan keluar ke Gaza.

Beliau mendakwa, dengan bayaran tersebut akan mendapat layanan istimewa tanpa perlu berhenti di banyak checkpoint dan berhenti di ‘bottle neck’ merentas Terusan Suez yang biasanya mengambil masa dua ke tiga hari untuk dilalui.

Katanya, untuk orang luar pastinya bayaran yang dikenakan lebih mahal, lebih-lebih lagi kalau hendak diberi layanan VVIP dengan iringan kenderaan berperisai dan sebagainya.

“Duit sendiri atau duit orang ramai, saya menyeru supaya pada masa hadapan perbaikilah apa kelemahan atau kekurangan, pimpinlah perjuangan kemanusiaan dengan pihak berkaitan.

“Sama-sama berpegang untuk membantu bukan dengan cara membuat kerja tanpa menoleh kiri kanan dan tidak menghiraukan kesan buruk yang terpaksa ditanggung badan-badan lain yang telah memulakan dan meneruskan perjuangan nafas panjang.

Baca artikel berkaitan: Ebit Lew akhirnya jejakkan kaki ke Gaza, luah rasa sebak seperti balik kampung sendiri

Menyokong kebenaran atas dasar prinsip – Firdaus Wong

“Kepada rakan-rakan NGO, pusat-pusat zakat, institusi bantuan dan pihak lain yang pernah melalui pengalaman sama di Kelantan, Kedah, Sabah dan tempat lain, barulah saya mengerti apa yang kalian semua rasai khususnya yang terpaksa mengadu di forum tertutup kerana malas melayan ‘backlash’ pembaca kerana kaedah redah dan dakwah yang tidak teratur dan tidak mengendahkan nasihat atau teguran pihak lain.

“Kepada kalian, teruskan sahaja perjuangan dan kerja kalian selagi mana kalian berada di landasan yang betul.

“Jangan lupa bahawa hero yang sebenar ialah marhain yang kita bantu dan upayakan kerana mereka yang selama ini berkorban dan bersabar dengan ujian,” katanya.

Nadir Al-Nuri ketika melakukan ziarah penduduk yang terjejas dalam serangan tentera Israel di Gaza hujung bulan lalu./ Gambar FB Nadir Al-Nuri.

Dalam tulisaannya itu, Nadir juga menjelaskan, mereka yang terlibat dengan kerja kemanusiaan tahu bahawa pendaftaran di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) hanya menuntut dihantar penyata kewangan tahunan.

Katanya, menjadikan perbelanjaan diaudit adalah bonus dan menunjukkan bahawa NGO menjunjung integriti dan transparensi dan itu tindakan yang diambil pihaknya tahun ini kerana mula mencuri perhatian dan diberi amanah yang besar menyampaikan sumbangan kalian.

Jelas beliau, untuk makluman juga, pengurusan NGO di Gaza sangat ketat dan penyampaian bantuan dipantau agar tidak berlaku penyelewengan.

“Sebagai contoh, dalam projek korban tahun ini, pihak saya membeli 122 ekor lembu melalui sistem tender terbuka.

“Agihan akan dibuat melalui 140 NGO tempatan yang berdaftar dan dipantau Kementerian Dalam Negeri, malah kami perlu menyediakan senarai nama 30,000 keluarga yang akan menerima bantuan daging!,” katanya.

Justeru, beliau membangkitkan adakah pihak Ebit Lew bersedia memberi penerangan sekiranya ratusan ribu dolar AS yang dibayar ke syarikat Hala, untuk penginapan, barangan sumbangan yang dibeli untuk agihan sama ada yang terdampar di Kaherah atau yang dibeli di Gaza?

“Sekiranya perbelanjaan tersebut datang dari poket sendiri, sahhah wa afiyah, terima kasih dan teruskan usaha murni ini.

“Sekiranya tidak, ambillah tanggungjawab memberi penerangan kepada semua penderma supaya tidak timbul bibit-bibit fitnah yang lain,” ujarnya.

Ebit Lew menjadi perhatian ramai baru-baru ini berikutan misi kemanusiaan beliau ke Gaza dan pendakwah itu turut dianugerahkan Duta Muhibah oleh Kementerian Luar Palestin.

Pihak UtusanTV sedang menghubungi pembantu Ebit Lew untuk mendapatkan respons berhubung dakwaaan Nadir.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram