Dr Noor Hisham Abdullah

SITUASI kes harian jangkitan COVID-19 yang kekal tinggi membuatkan katil-katil di hospital terutama unit rawatan rapi (ICU) sememangnya terus penuh.

Mengulas mengenai isu tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan umur lebih muda dilihat lebih banyak memenuhi ICU.

Kata beliau, berdasarkan laporan diterima Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan dan CPRC Perkhidmatan Hospital mendapati pesakit antara usia 40-an hingga 50-an di ICU lebih tinggi berbanding warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, ia sekali gus menjadi bukti keberkesanan vaksin mengurangkan jangkitan kepada golongan lebih berusia.

“Situasi ini membuktikan vaksin telah membantu mengurangkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan golongan rentan dan warga emas.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin terus menyeru warga Malaysia terutamanya daripada kumpulan umur 18 hingga 59 tahun untuk mendaftar, mengikut janji temu yang ditetapkan dan hadir mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Empat di Selangor antara 13 kluster tempat kerja hari ini

Sebanyak 11,985 kes harian baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 951,884 sejak mula dikesan awal tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah kematian angkara wabak itu mencatatkan paras tertinggi sebanyak 199 kes.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 30 lagi kluster baharu telah dikesan hari ini.

Beliau berkata, ia melibatkan 17 kluster tempat kerja, lapan komuniti, dua kumpulan berisiko, dua keagamaan dan satu institusi pendidikan.

Menurut beliau, Johor merekodkan jumlah kluster baharu tertinggi hari ini sebanyak enam merangkumi tiga tempat kerja, dua komuniti dan satu institusi pendidikan.

Katanya, kluster tempat kerja tertinggi direkodkan di Selangor iaitu sebanyak lima kluster diikuti empat di Pulau Pinang.

“Sebanyak tiga kluster komuniti telah dikesan di Kelantan manakala kluster komuniti lain dilaporkan di Sarawak, Kedah dan Pahang.

“Kedua-dua kluster kumpulan berisiko tinggi telah dikenal pasti di Kuala Lumpur manakala kluster keagamaan dikesan di Terengganu dan Kelantan,” jelas beliau.

Pengesanan kluster baharu hari ini menyaksikan sebanyak 3,329 kluster telah dilaporkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Sebanyak 2,398 kluster dilaporkan tamat manakala 931 lagi masih aktif.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram