TIDAK berkongsi gambar ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 bukan bermakna penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Tegas penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu, dia sebenarnya sudah selesai menerima suntikan vaksin berkenaan dan memutuskan tidak mahu memuat naik proses tersebut di media sosial kerana mahu menjaga sensitiviti orang ramai.

“Saya dah sudah menerima suntikan vaksin… saja saya tak kongsikan sebab kadangkala kalau kita letak orang bercakap, tak letak pun orang akan berkata-kata.

“Jadi, biar sajalah kita sendiri yang tahu. Mana yang dah tahu itu, tahu sajalah. Kalau nak gambar, saya akan kongsikan nanti.

“Saya rasa terlalu ramai orang sensitif sebab ada perkara yang perlu dikongsi dan ada benda yang tak perlu. Kalau saya nak letak, saya akan buat demikian,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar mendapatkan vaksin demi perlindungan diri dan orang tersayang sekali gus mencegah penularan wabak berjangkit itu.

“Semua jaga diri, jaga kesihatan. Jangan keluar rumah jika tidak ada urusan. Jangan lupa untuk ambil suntikan vaksin,” pesannya.