Kecederaan dialami Syamilla Bihai semakin pulih. Foto PERHILITAN


KECEDERAAN dialami Syamilla Bihai iaitu harimau belang betina yang diselamatkan di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan setelah terkena parang dalam satu pergelutan dengan seorang lelaki Orang Asli semakin beransur pulih. 

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam satu kenyataan berkata, keadaan semasa haiwan pemangsa itu juga sangat positif.

Syamilla Bihai cedera setelah terkena parang dalam satu pergelutan dengan seorang lelaki Orang Asli di Gua Musang Kelantan baru-baru ini. Foto PERHILITAN

“Selera makan harimau ini juga sudah bertambah baik kerana telah mula memakan daging,” kata PERHILITAN di Facebook, hari ini.

Tambah kenyataan itu, buat masa ini Syamilla Bihai masih ditempatkan di dalam kurungan malam di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai Perak dan dipantau rapi oleh doktor veterinar PERHILITAN serta kakitangan NWRC bagi memastikan ia akan sembuh seperti sediakala. 

Pada 15 Julai lalu, seekor Harimau Belang betina, ‘ Syamilla Bihai’ berjaya ditangkap oleh PERHILITAN di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan. 

Harimau itu dipercayai haiwan yang sama menyerang lelaki Orang Asli pada 5 Julai 2021.

Pemeriksaan awal mendapati harimau itu mengalami kecederaan fizikal di beberapa bahagian terutamanya bahagian kepala dipercayai luka akibat pergelutan dengan mangsa serangan.

Operasi pemindahan harimau tersebut ke NWRC Sungkai, Perak dibuat pada 16 Julai lalu untuk rawatan dan pemantauan susulan.