syed saddiq

BEKAS Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui akan dihadapkan ke mahkamah esok berhubung pendakwaan membabitkan dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Kuala Lumpur.

Ahli Parlimem Muar itu menerusi akaun Twitternya berkata beliau akan didakwa esok yang didakwanya bermotif politik dan akan mengadakan sidang media secara maya pada malam untuk membuat pendedahan lanjut.

“Sudah lebih setahun saya diugut jika tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan akan datang. Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang,” dakwanya dalam video ringkas di Twitter miliknya.

Beliau berkata, walaupun diugut, beliau tidak akan sesekali ‘menjual’ jiwa dan prinsip perjuangan politiknya.

“Pada 8.30 pagi saya akan ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk diadili, dan pada 8 malam esok saya akan adakan sidang Live dalam Facebook dan Instagram untuk adakan pendedahan lanjut.

“Dalam saat-saat seperti ini saya diingatkan kenapa saya menyertai politik, saya lebih rela ke mahkamah dari menyertai PN,” dakwanya.

BERITA BERKAITAN Syed Saddiq diarah henti edar makanan di pejabat kerana lakukan 2 kesalahan – Ayob Khan

Terdahulu, beberapa portal berita mendedahkan pendakwaan tersebut melibatkan dua pertuduhan di bawah seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

Jumlah keseluruhan penyelewengan yang dianggarkan berjumlah RM1.12 juta membabitkan wang milik parti politik yang mana beliau adalah Ketua Armada Bersatu ketika itu sebelum digugurkan keahliannya pada Mei 2020 lalu.

Selain itu, Syed Saddiq juga dijangka turut dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dalam masa terdekat.

Siasatan ke atas Syed Saddiq tersebut dijalankan sejak Jun 2020 selepas menerima aduan berhubung kehilangan wang berjumlah RM250,000 dalam simpanannya.

Beliau sebelum ini mendakwa wang yang hilang di rumahnya di Petaling Jaya itu adalah wang peribadi milik beliau dan ibu bapanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram