SELEPAS wajah Yuna meghiasi papan iklan digital terkenal di Times Square, New York, Amerika Syarikat, kini tuah menyebelahi penyanyi muda, Layla Sania.

Kemunculan Layla di papan iklan digital berkenaan sebagai wakil penyanyi dari Malaysia dalam kempen EQUAL yang dikendalikan platform muzikal digital, Spotify.

EQUAL ialah program global dalam memupuk ekuiti atau mengetengahkan artis wanita di seluruh dunia.

Terdapat 35 senarai main (playlist) tempatan program global itu yang merangkumi artis dari lebih 50 buah negara.

Penyanyi bertudung itu bukan saja wakil daripada Malaysia, malah Singapura dan wajahnya berada di papan iklan digital itu sejak 20 Julai lalu (waktu tempatan di New York).

“Saya amat bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada kempen itu. Ia bermakna bagi kerjaya nyanyian saya.

“Saya tidak pernah membayangkan melihat diri sendiri di papan iklan digital di Times Square, New York sama seperti Yuna dan barisan artis wanita antarabangsa yang lain,” katanya.

Pemilik nama penuh Layla Sania Khairuzikri itu ternyata cukup berterima kasih kepada Spotify di atas kesempatan berharga itu.

“Saya amat terharu dan berharap ini boleh dijadikan inspirasi kepada pemuzik wanita di luar sana.

“Kita mempunyai kekuatan untuk mengubah dunia, tidak kira siapa diri kita dan di mana sahaja kita berada

“Terima kasih juga kepada peminat yang setia menyokong. Tak ketinggalan rakan media yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya saya,” ujarnya.

Penyanyi berusia 19 tahun naungan Warner Music itu merupakan bekas pelajar di SMJK(C) Chong Hwa, Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Layla melancarkan single pertamanya di dalam bahasa Mandarin yang berjudul By Your Side Januari lalu.

Terdahulu dia muncul dengan dua single dalam Bahasa Malaysia berjudul Lakaran pada Mac 2020 dan Que Sera Sera pada 2019.