SELEPAS mencatatkan penurunan kepada paras 200,000 pada Hari Raya Aidiladha, pemberian vaksin kembali meningkat melebihi 400,000 semalam.

Pemberian harian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus berada di landasan tepat mencapai imuniti kelompok setelah merekodkan 446,052 dos semalam.

Jumlah berkenaan merangkumi 282,980 bagi suntikan pertama dan bakinya 163,072 untuk dos kedua vaksin COVID-19.

Kadar itu juga antara yang tertinggi sejak PICK dimulakan penghujung Februari lalu.

Sebagai rekod, jumlah tertinggi pemberian vaksin yang pernah dicatatkan adalah 460,158 dos pada 15 Julai lalu.

Secara keseluruhan, sebanyak 15.517 juta dos vaksin telah pun diberikan ke seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah tersebut merangkumi 10.584 juta atau 32.4 peratus populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi dos kedua pula, hampir lima juta telah melengkapkan suntikan imunisasi masing-masing.

Kadar hampir lima juta atau lebih tepat 4.932 juta itu meliputi 15.1 peratus daripada populasi penduduk negara.

Baca artikel berkaitan: 10.301 juta terima dos pertama, 299,593 diberi semalam

Dr. Adham berkata, liputan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1.400 juta.

Katanya, kadar tersebut merangkumi 16.6 peratus jumlah populasi di Lembah Klang.

Menurut beliau, ia diikuti 1.009 juta (35.8 peratus populasi) di Sarawak; 386,298 (10.2 peratus populasi) di Johor; 371,520 (9.5 peratus populasi) di Sabah dan sebanyak 311,793 (12.4 peratus populasi) di Perak.

Dr. Adham berkata, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 233,374 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (230,600) dan Kelantan berjumlah 210,517.

“Seterusnya, Pahang telah mencatatkan 209,924 lengkap dos kedua; 177,356 di Negeri Sembilan dan 148,422 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 130,646 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 66,154 di Perlis dan 46,585 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang turut menjadi negeri penerima dos pertama tertinggi iaitu seramai 4.279 juta individu.

Beliau memaklumkan, ia diikuti Sarawak seramai 1.607 juta; Johor (758,264); Perak (600,627) dan Sabah (532,277).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram