KEHILANGAN secara misteri seorang lelaki warga Bangladesh sejak seminggu lalu terungkai apabila rakan sekerjanya mengaku membunuh mangsa dalam satu kejadian dekat Taman Mutiara Galla, Seremban, Negeri Sembilan.
Tambah menyedihkan, mayat mangsa berusia 30 tahun itu ditanam suspek juga warga Bangladesh di tempat tinggal mereka, di rumah kongsi sebuah tapak pembinaan dalam kejadian pada 13 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kehilangan mangsa terbongkar selepas majikannya mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Katanya, ketiadaan mangsa berusia 30 tahun itu dalam tempoh yang agak lama menimbulkan tanda tanda majikannya yang kemudian telah bertanya lebih lanjut kepada suspek.
“Bagaimanapun suspek yang tinggal bersama mangsa cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan majikannya yang kemudian membuat laporan polis.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah membunuh mangsa sebelum menanamnya di tempat tinggal mereka,” katanya, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara suspek dan mangsa yang telah tinggal bersama sejak sebulan lalu.
Menurutnya, suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan kayu sebelum menanam mayatnya di kawasan tempat tinggal mereka.
“Suspek juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa, ” katanya.
Beliau menambah, suspek kemudiannya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.