Baru-baru ini sewaktu sibuk mengemas rak bahan bacaan di bilik, saya terjumpa sekeping foto lama. Foto lima sahabat yang tersenyum girang itu benar-benar menggamit memori saya.

Fina, Ima, Mia dan Suraya, empat sahabat karib saya sewaktu menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di pinggir Kuala Lumpur, lima tahun lalu.

Tiba-tiba hati saya jadi sebak. Foto itu bukan sekadar menggamit memori indah sewaktu kami bergelar pelajar, namun juga kenangan pahit yang tidak akan kami lupakan.

Saya masih ingat peristiwa itu yang berlaku pada suatu malam hanya beberapa bulan sebelum tamatnya pengajian kami.  

PUKUL 10.30 malam, saya bersama Fina, Ima, Mia  berpandangan sesama sendiri, terkejut bila mendengar rancangan Suraya.

“Tapi, aku tak berani sangatlah. Benda macam ni bukan boleh buat main-main. Karang kalau jadi apa-apa, susah nanti. Kita bukannya berani sangat,” Mia bersuara tiba-tiba.

“Laa kau ni, nak takut apa? Kita ni kan ramai. Lagipun ni main-main ajalah. Bukan sampai nak ke kubur pun,” Suraya cuba meyakinkan Mia.

“Betullah Mia. Kita main-main aja. Ala, macam tak biasa pulak. Lagipun malam ni malam Jumaat, baru mencabar nak uji keberanian,” Fina menyampuk.

Kami terus mendesak. Mahu tidak mahu, terpaksalah Mia mengalah walaupun ketika itu hatinya berbelah bahagi untuk berkata `Ya’ ataupun `Tidak.’ Mia pun pelik, kenapalah kali ini hatinya berdebar. Mungkin kerana permainan malam ini lain daripada yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Selalunya mereka suka main sorok-sorok. Tak pun main hantu-hantu untuk menyakat teman-teman bilik lain yang tidur lebih awal. Memang itulah rutin kami lima bersahabat. Bila ada masa terluang, pasti akan muncul macam-macam idea untuk menyakat antara satu sama lain.   

Kebetulan malam itu Suraya baru selesai membaca sebuah novel seram dan tergerak hati mahu mengusik sahabat-sahabatnya itu. Yang bengang sudah tentu si Mia. Tak pasal-pasal dia yang dipilih untuk kena ikat. Namun, demi menjaga hati para sahabatnya itu, Mia terpaksa turutkan juga.

Gambar hiasan : Mahu tak mahu, Mia baring juga di atas kain putih yang kami bentang di lantai. Malam Jumaat ini Mia akan `jadi mayat’ dan kami akan mengapannya.

SEPERTI YANG DIRANCANG, tengah malam itu di bilik Suraya, kami berlima bersiap sedia dengan permainan `Kapan-kapan.’ Selepas membentang sehelai kain cadar putih, kami menyuruh Mia berbaring atas kain itu.

“Ala, main-main jelah. Bukan nak masuk keranda pun,” Suraya cuba meyakinkan Mia. Kami yang lain turut sama memujuk Mia.

“Iyalah. Aku baringlah ni,” jawab Mia.

Bila Mia sudah setuju, kami memang gembira. Permainan kali ini lebih menjadi, lagi real. Main kapan-kapan mayat! Huh! Gerenti budak-budak lain takkan berani buat macam ni.

Memang nampak seram tapi seperti kata Suraya, apa nak ditakutkan. Itu sekadar permainan. Bukan sampai ke tahap sumbatkan Mia dalam keranda pun.

“Aku nak kapankan kau ni. Ada apa-apa pesanan tak sebelum kau mati ni?” sempat saya bertanya sekadar bergurau dengan Mia.

“Mmm… aku nak kahwin dengan putera raja, boleh?” jawab Mia sambil ketawa. Kami semua tertawa besar mendengar jawapan Mia. Maklumlah, dah nak ‘mati’ pun berangan lagi nak kahwin dengan putera raja.

“Okeylah. Aku serius. Aku nak minta maaf banyak-banyak pada kau orang semua. Apa saja salah aku, maafkanlah ya. Aku nak pergi ni. Segala makan minum aku, halalkan ya. Aku pun macam orang lain jugak, tak lepas dari buat salah,” tiba-tiba Mia bertutur sedih. Air matanya turut mengalir.

Kami terkedu seketika. Hati saya tiba-tiba berdegup kencang.  

“Eh! Mia, janganlah serius sangat. Kita main-main ajelah,” pantas Suraya mencelah. Kata-kata dan air muka Mia itu mencuit perasaan cemas kami. Kami hairan kenapa Mia tiba-tiba berubah jadi serius seperti itu.

“Haahlah Mia. Janganlah menangis macam ni. Tak apalah kalau kau tak nak main, kita main benda lain ajalah,” Fina pula mencelah.

Mia hanya diam. Wajahnya yang tadi ceria bertukar sayu. Mia lantas merebahkan dirinya selepas memohon maaf. Meskipun hati kami berempat mula berdebar-debar, kami tekad teruskan juga permainan itu. Apatah lagi Mia sendiri sudah bersedia untuk dikapankan.

“Betul ke kau nak teruskan ni?” saya bertanya sekali lagi pada Mia sebelum Suraya  ‘mengapannya’ sebentar lagi.

Mia mengangguk perlahan sambil berkata, “Kalau ada keranda lagi bagus. Lagi real kan?”

Berderau darah saya bila mendengar kata-kata Mia itu. Saya tidak sedap hati.

“Kalau ada keranda lagi bagus. Lagi real, kan? Kata-kata Mia itu membuatkan darah saya berderau. Saya rasa tak sedap hati.

“Aku main-main aja. Tak apa, teruskan,” balas Mia sambil tersenyum kelat seolah-olah dapat membaca gelodak hati kami ketika itu.

Akhirnya kami teruskan juga permainan itu. Kain putih dibungkus pada tubuh Mia lalu diikat pada hujung kepala dan hujung kaki seolah-olah dia sudah dikapankan. Lampu dipadamkan. Suasana bertukar sunyi dan sepi. Gelap. Kami berempat masing-masing hanya duduk di penjuru bilik, memeluk lutut sambil berdiam diri.

Lebih kurang 10 minit kemudian, kami sepakat membuka lampu dan membebaskan semula Mia. Lagipun dengan hanya bertemankan remang cahaya lampu luar, bukan main terasa pula seramnya. Kami sepakat untuk menghentikan permainan tersebut.

Suraya segera mendapatkan ‘mayat’ Mia. Saya, Fina dan Hani turut sama membantu membuka ikatan kain pada hujung kepala dan kaki Mia. Kelihatan Mia terbaring kaku dengan mata terpejam rapat.

“Mia… Mia… bangunlah! Kita dah habis main ni.” Suraya menggerakkan tubuh Mia.

Perlahan-lahan Mia membuka mata. Dia sekadar tersenyum kelat memandang kami berempat.

“Aku rasa aku tak lama lagilah. Tadi aku rasa macam betul-betul mati. Kalau betul-betul aku mati nanti, kau orang maafkan salah dan silap aku, ya,” kata-kata Mia itu sekali lagi mengundang keanehan dan kerisauan pada kami berempat.

“Apa ni, Mia. Janganlah cakap benda bukan-bukan macam tu. Tak baiklah,”  Hani pula mencelah.

Selepas itu, kami pulang ke bilik masing-masing. Pun begitu, saya masih tidak sedap hati. Terasa bagai ada sesuatu akan berlaku. Kata-kata Mia tadi benar-benar membuatkan saya risau.

Gambar hiasan : Esoknya kami Mia dimasukkan ke hospital dan dua hari kemudian…!

KEESOKANNYA, kami berempat terkejut apabila dapat tahu Mia dimasukkan ke hospital kerana tiba-tiba diserang demam panas. Kami sangkakan hanya demam panas biasa, namun sewaktu melawat Mia di hospital, keadaannya kelihatan kritikal. Dan apa yang lebih mengejutkan kami berempat apabila dua hari kemudian kami mendapat berita Mia meninggal dunia! 

Sungguh, kami terkejut. Sukar hendak menerima hakikat Mia yang sebelum itu sihat dan ceria tiba-tiba pergi sekelip mata. Dalam masa yang sama, kami berasa bersalah kerana menyuruh Mia menjadi ‘mayat’ pada malam itu. Paling sedih adalah Suraya kerana dialah yang mencadangkan untuk Mia dikapankan. Akhirnya, permainan itu jadi kenyataan.

Saya teringat pada kata-kata Mia ketika itu yang menyebut soal keranda dan beriya-iya meminta maaf. Apakah itu tanda sememangnya Mia mahu pergi buat selama-lamanya?

Dalam tempoh beberapa hari selepas pemergian Mia, ada kawan-kawan yang mengatakan melihat lampu bilik Mia yang ketika itu kosong, terpasang sendiri pada waktu malam. Selain itu mereka juga mengatakan ada melihat seseorang seperti Mia sedang berdiri di tingkap sambil menundukkan muka.

Selepas pemergiannya, ada kawan yang mendakwa melihat lampu bilik arwah Mia terpasang sendiri dan ada seseorang sepertinya berdiri di tepi tingkap.

Kami kini sudah bekerja. Saya tidak ambil kisah sangat dengan cerita-cerita itu, tetapi  sehingga kini saya masih tertanya-tanya, jika kami tidak bermain permainan itu, mungkinkah Mia masih terus bergelak ketawa bersama kami hingga ke hari ini?

Kepada adik-adik yang masih belajar, tinggal di asrama atau kolej, saya nasihatkan, janganlah lakukan apa yang kami buat itu. Banyak lagi perkara yang boleh dilakukan, tetapi nyawa jangan sekali-kali boleh dibuat mainan.

———————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam