PERUNTUKAN di bawah platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional yang diberi nama JanaNiaga dijangka bakal mencecah RM1.2 bilion.

Jumlah tersebut akan dapat direalisasikan menerusi peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dengan purata tempoh invois selama 90 hari, jumlah tersebut akan menyumbang sebanyak RM4.8 bilion setahun kepada kecairan tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Kata beliau, platform JanaNiaga berterajukan pembiayaan invois daripada pembekal syarikat milik kerajaan (GLC) menerusi portal digital.

Pada peringkat awal, beliau berkata, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia.

“Dengan sokongan GLC, pembekal-pembekal PKS ini akan menikmati kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus, jauh lebih rendah daripada pembiayaan pada kadar biasa.

“Permohonan pembiayaan juga dibuat secara dalam talian, membolehkan setiap permohonan diluluskan dalam tempoh 24 jam sahaja,” katanya sempena pelancaran JanaNiaga secara maya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Pengekalan Fitch Ratings mencerminkan keyakinan terhadap polisi dan prospek Malaysia – Tengku Zafrul

Platform JanaNiaga diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 lalu dan akan diterajui EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan di Malaysia.

Bagi memastikan bantuan kepada PKS dapat diberikan secepat mungkin, peruntukan sebanyak RM300 juta telah disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, platform JanaNiaga itu akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama.

Katanya, bantuan kepada PKS ini akan diberikan melalui pinjaman daripada institusi-institusi kewangan menerusi platform JanaNiaga.

“Platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional seperti JanaNiaga ini memberi faedah besar kepada ekosistem dan telah diguna pakai secara meluas oleh sektor ekonomi negara luar.

“Penggunaan platform ini menyokong pemulihan ekonomi jangka panjang dan selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi serta pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu bagi mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram