Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika hadir atas dua pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Kuala Lumpur, disini hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SYED SADDIQ Syed Abdul Rahman didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan wang RM1 juta milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ia dilakukan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama.

Pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.

Menurut pertuduhan tersebut, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang Bersatu itu melalui cek CIMB Bank, di CIMB Bank, KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 6 Mac tahun lalu.

Baca artikel berkaitan: Syed Saddiq dakwa pendakwaan esok bermotif politik

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Muar itu juga dijangka turut dituduh di mahkamah sesyen lain hari ini, di depan hakim Suzana Hussin.

Terdahulu, Syed Saddiq tiba kira-kira jam 9.02 pagi dengan diiringi barisan peguamnya, Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Turut sama hadir di pekarangan mahkamah beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen PKR, Fahmi Fadzil.

Syed Saddiq yang kini ialah Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), sebelum ini memegang jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram