PEMBERIAN vaksin seluruh negara menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin hari semakin menunjukkan kemajuan ketara.

Program yang rancak berlangsung itu sekali lagi memecahkan rekod baharu selepas berjaya melebihi setengah juta pemberian dalam masa sehari.

Semalam, sebanyak 507,050 dos telah diberikan – pertama kali melebihi paras itu.

Sebagai rekod, jumlah tertinggi pemberian vaksin yang pernah dicatatkan sebelum ini adalah 460,158 dos pada 15 Julai lalu.

Jumlah berkenaan merangkumi 335,977 bagi suntikan pertama dan 171,073 untuk dos kedua vaksin COVID-19.

Kadar harian itu sekali gus menyaksikan sebanyak 16.024 juta dos telah pun diberikan sejak PICK bermula awal Februari lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu juga memperlihatkan 10.921 juta individu atau 33.4 peratus populasi telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi dos kedua pula, lebih lima juta telah melengkapkan suntikan imunisasi masing-masing.

Kadar lebih lima juta atau lebih tepat 5.104 juta itu meliputi 15.6 peratus daripada populasi penduduk negara.

Baca artikel berkaitan: Rekod 507,050 dos sehari, PM ucap terima kasih dan tahniah

Dr. Adham berkata, liputan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1.469 juta.

Katanya, kadar tersebut merangkumi 17.4 peratus jumlah populasi di Lembah Klang.

Menurut beliau, ia diikuti 1.053 juta (37.4 peratus populasi) di Sarawak; 390,960 (10.3 peratus populasi) di Johor; 374,937 (9.6 peratus populasi) di Sabah dan sebanyak 322,896 (12.9 peratus populasi) di Perak.

Dr. Adham berkata, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 240,038 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (233,971) dan Kelantan berjumlah 213,490.

“Seterusnya, Pahang telah mencatatkan 214,243 lengkap dos kedua; 186,563 di Negeri Sembilan dan 152,918 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 136,502 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 66,850 di Perlis dan 48,440 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, Lembah Klang turut menjadi negeri penerima dos pertama tertinggi iaitu seramai 4.434 juta individu.

Beliau memaklumkan, ia diikuti Sarawak seramai 1.617 juta; Johor (789,971); Perak (621,195) dan Sabah (559,451).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram