SEBANYAK 13 laporan polis telah diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kejadian pemberian suntikan vaksin yang didakwa kosong.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tujuh daripada laporan berkenaan diterima di Kuala Lumpur, tiga di Selangor dan masing-masing satu di Kedah, Perak dan Melaka.
“PDRM mengesahkan menerima laporan laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) sejak beberapa hari yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: Scam vaksin: 38 laporan polis dibuat, kerugian RM54,500
Lebih lima juta sempurna dua dos, 507,050 rekod tertinggi
Menurut beliau, siasatan pemberian suntikan vaksin kosong dijalankan oleh JSJ dan kesemua kes masih di peringkat siasatan.
Katanya, bagi kes penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran pula, siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
“PDRM ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin COVID-19.
‘Sehingga kini vaksin COVID-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan Malaysia mengikut pelan imunisasi COVID-19 kebangsaan dan sebarang penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain termasuk secara online adalah tidak dibenarkan,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram