Ismail Sabri sempat meluangkan masa menziarahi lapan beradik yatim piatu di rumah sewa mereka di Rawang, Selangor baru-baru ini.

KISAH pilu lapan beradik yang kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19 sehingga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menarik perhatian kerajaan negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata, kerajaan negeri menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma kepada lapan beradik itu.

Menurutnya, jika tawaran itu diterima, pembinaan rumah RRP tersebut dicadangkan dibangunkan di kampung asal ibu mereka di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2, Jerantut.

“Kerajaan negeri juga akan menyediakan dan membiayai rumah sewa sementara ketika menunggu rumah RRP itu siap.

“Saya bersedih dan bersimpati dengan nasib lapan beradik ini kerana yang sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun manakala adik-adiknya berusia empat hingga 18 tahun, kini tinggal menyewa bersama ibu saudara mereka di Rawang, Selangor,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, bagi memastikan kesemua beradik terbabit tetap tinggal serumah bersama-sama ibu saudara mereka, kerajaan negeri membuat tawaran RRP berkenaan manakala ibu saudara mereka akan diberikan elaun bulanan sewajarnya.

Selain itu beliau memberitahu, Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membiayai pendidikan lapan beradik berkenaan yang masih bersekolah.

Malah katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sedia menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanannya.

“Pegawai pejabat saya sudah pun menghubungi Nazurah dan saya berharap tawaran ini akan diterima,” ujarnya lagi.

Bapa lapan beradik itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai manakala ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pula pada 18 Julai akibat Covid-19.

Kisah lapan beradik itu tular dan mendapat perhatian pengamal media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat selepas kisah mereka dimuat naik di Facebook pada Selasa lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang bersimpati turut meluangkan masa melawat lapan beradik itu, kelmarin.

Dalam kunjungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan menyalurkan bantuan bagi kes anak yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 supaya masa depan mereka terjamin.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan senarai mereka yang mengalami nasib sama supaya dapat dibantu,” tambahnya.