Kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di kedudukan 14.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Johor, semalam. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA


TINDAKAN sebuah kapal tangki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, mengundang padah apabila kapal itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor dalam satu kejadian tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di kedudukan 14.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Johor.

Menurut beliau, penahanan kapal itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan penguatkuasaan di perairan Johor Timur kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam. 

“Kapal tangki itu dikendalikan sembilan kru warga Indonesia, berusia antara 24 hingga 49 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kapal tangki yang berdaftar dari Panama itu ditahan menerusi Operasi Jangkar Haram di kedudukan 14.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa, Johor, semalam. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Dalam pada itu, Nurul Hizam berkata, kapal berserta kesemua kru telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Ujarnya, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

“Sebarang salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai diminta segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07 – 219 9404) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hizam berkata, anggota bot ronda Maritim Malaysia yang dalam perjalanan membawa nakhoda kapal tangki terbabit ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili bagi siasatan lanjut turut merasai cuaca ribut dan angin kencang yang berlaku semalam.