Seorang lagi Pegawai Daerah (DO) di Selangor ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah hari ini./ Gambar media sosial.

PANAS. Semalam dua, hari ini seorang lagi Pegawai Daerah (DO) di Selangor ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut ditahan bersama DO berkenaan ialah seorang juruukur bahan.

Penahanan mereka susulan penahanan tiga individu termasuk dua DO yang juga bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor dan seorang kontraktor semalam.

Kesemua mereka disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.

DO ketiga dan juruukur bahan berkenaan direman selama lima hari bermula hari ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim, membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua individu terlibat telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 dan 10 malam tadi, ketika hadir memberi keterangan.

Katanya individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek, bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012.

“Dalam tempoh empat tahun di sebuah daerah sahaja, kontraktor terlibat boleh memperoleh pelbagai projek bernilai anggaran RM20 juta. Difahamkan terdapat kira-kira 70 syarikat yang digunakan untuk membolot projek-projek tersebut, termasuk kira-kira 16 syarikat milik keluarga mereka dan selebihnya merupakan kroni atau proksi,” kata sumber SPRM itu.

Sumber itu turut berkata, kontraktor ni akan menjaga dan berdampingan dengan pegawai-pegawai terlibat seperti menaja bermain golf, percutian ke luar negara dengan membiayai perbelanjaan sekeluarga.

Katanya, DO yang direman hari ini dipercayai telah menerima suapan bernilai anggaran kira-kira RM125,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan.

“Suapan itu adalah sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan dan lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di kawasan sekitar Selangor. Keseluruhan nilai projek-projek tersebut berjumlah kira-kira RM3 juta,” katanya.

Sumber SPRM itu juga berkata, juruukur bahan itu pula dipercayai telah memperoleh suapan sebanyak satu peratus daripada nilai projek, selain wang tunai berjumlah anggaran RM90,000 dan sebuah basikal bernilai RM3,000.

Katanya individu tersebut dipercayai telah membocorkan maklumat-maklumat berkaitan tender kepada kontraktor, bagi kerja-kerja pembersihan kawasan dan penyelenggaraan di sebuah daerah lain pula di Selangor.