CINTA memang tidak pernah mengenal masa dan tempat, perasaan itu boleh bersemi di mana-mana sahaja tanpa kita sedar. Atas sebab itu jugalah, kita selalu mendengar kisah cinta yang mampu bertahan meskipun terpisah jauh merentasi lautan dan benua. Tiada masalah sekiranya kepercayaan dan rasa cinta yang kuat menjadi pegangan pasangan terbabit.

Teknologi moden perantara terkini yang boleh menjadi penghubung di antara anda dan juga pasangan. Berikut adalah beberapa tip bagi mempertahankan perhubungan ketika anda berdua terpisah dek tuntutan kerja dan lain-lain faktor yang tidak memungkinkan anda bersama.

SENTIASA BERHUBUNG TIDAK MENGIRA WAKTU

Kunci utama untuk mempertahankan hubungan cinta jarak jauh adalah dengan cara saling berhubung. Penggunaan telefon, e-mel, khidmat pesanan ringkas ataupun chatting secara kerap adalah antara kaedah mudah, biarpun anda sekadar mahu menceritakan hari-hari yang anda lalui pada hari itu. Walaupun terpisah beribu batu, namun anda akan berasa senang kerana dapat mengetahui kehidupan masing-masing. Tiada lagi alasan untuk tidak berkomunikasi di antara satu sama lain.

ELAKKAN DARIPADA BERTIKAM LIDAH

Masalah akan selamanya menjadi masalah dan ia semakin rumit jika dibiarkan begitu sahaja. Perbuatan anda mengabaikan panggilan telefonnya, hanya akan membuatkan si dia bertambah marah. Cuba cari jalan penyelesaian dengan segera. Jika ada sebarang rasa curiga ataupun syak wasangka, luahkan saja supaya tiada perselisihan faham berlaku kelak. Tetapi awas, jangan sampai mengganggu pula aktiviti si dia.

BERI LEBIH PERHATIAN

Sungguhpun anda berdua berada jauh di antara satu sama lain, tetapi itu bukan bermakna anda tidak perlu menunjukkan rasa kasih sayang terhadapnya. Hantarkan kepadanya kiriman kad secara elektronik ataupun mengirimkan novel romantik melalui pos. Pendek kata, apa sahaja bahan yang mampu mencuit hati dan sekali gus membangkitkan perasaan nostalgia dalam dirinya. Si dia akan sedar bahawa anda begitu memikirkan tentangnya sepanjang masa.

BERSIKAP REALISTIK

Berpisah buat seketika, bukan bermakna dunia juga turut sama berubah. Banyak perkara yang perlu anda fahami meskipun anda berjauhan dengan si dia. Memang benar, anda berada dalam lingkungan kehidupan yang berbeza dan ia memerlukan masa untuk mengadaptasi diri masing-masing yang merasa kehilangan sesuatu. Luangkan masa untuk berbincang mengenai perkara ini, walaupun isu ini agak sensitif, tetapi itulah caranya untuk memahami kehidupan anda berdua dengan lebih baik.

RUTIN SEPERTI BIASA

Jangan sia-siakan hidup anda hanya kerana si dia jauh daripada anda. Jika anda terpaksa berhijrah demi menuntut ilmu, pastikan anda belajar bersungguh-sungguh dan buatkan si dia bangga dengan pencapaian diri anda. Begitu juga sekiranya anda bekerja, lakukan tugasan dengan penuh komited agar si dia tidak perlu risau dengan keadaan anda di sana.

KEJUTAN MANISKAN PERHUBUNGAN

Apa salahnya anda sekali-sekala memberikan si dia kejutan yang tidak terduga, misalnya kiriman bunga ros kegemarannya dalam jumlah mengikut tarikh keramat anda berdua. Sekiranya anda punya waktu terluang, datanglah mengunjungi si dia secara mengejut. Bagaimanapun, pastikan si dia tidak sibuk pada hari itu. Kalau tidak, sia-sia sahaja perjalanan jauh yang anda buat. Tidak mengapa jika hanya dapat berjumpa sekejap, asalkan dapat mengubati rindu anda terhadap si dia.

SENTIASA BERSABAR DAN SALING PERCAYA

Sedia berjauhan bermakna anda harus percaya kepada pasangan dengan sepenuh hati. Emosi susah untuk dikawal dan jika ia menguasai diri, boleh merosakkan perhubungan anda berdua. Cuba bersabar dan elakkan daripada meninggikan suara sekiranya menghadapi badai dalam percintaan.

CUBALAH UNTUK SETIA

Banyak dugaan dan rintangan apabila berjauhan dengan orang tersayang. Sunyi sudah pasti menyelubungi diri. Manakan tidak, si gadis/jejaka pujaan yang selalu kita jumpa setiap hari, tidak dapat dilakukan kini. Jadi, cubalah untuk kekal setia dengan pasangan walaupun si dia tidak tahu aktiviti anda di sana. Anda boleh berkawan dengan sesiapa sahaja, asalkan ada batasan tertentu dan paling penting, tidak melibatkan hati dan perasaan melebihi seorang teman.

POSITIF VS NEGATIF

Tidak semua mampu mengekalkan hubungan cinta jarak jauh. Ia memerlukan lebih kesabaran dan juga usaha. Cuba pertimbangkan kesan-kesan yang mungkin timbul kerana berjauhan secara positif dan negatif.

Adakah anda berdua pasangan bahagia ataupun lebih banyak bertengkar daripada bermesra-mesraan? Jika lebih banyak impak negatif berbanding positif, tiada salahnya anda memikirkan masak-masak akan arah tuju percintaan. Adakah ia akan berakhir dengan perkahwinan atau terdapat masalah lain yang tidak memungkinkan anda bersama?

Jangan membuang masa dengan perhubungan yang tidak ada kesudahannya. Berjauhan bermakna anda tidak akan dapat bertemu dengannya dalam jangka masa lama dan sekali gus membuatkan si dia atau anda sendiri bosan dan akhirnya mengambil keputusan untuk mencari yang lebih dekat dengan anda. Fikirlah secara bijak sebelum membuat sebarang perjanjian dengan si dia, sama ada ingin teruskan perhubungan atau sebaliknya.

SELALU BERTANYA KHABAR

Usahakan setiap malam untuk menghubungi pasangan untuk bertanyakan khabar. Tetapi jangan terlalu mengharapkan si dia seorang yang berbuat demikian, anda juga perlu sama melakukannya. Pasangan anda akan menghargai dan gembira kerana anda begitu menyayangi diri mereka