OPERASI Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan di Lembah Klang bagi memastikan semua golongan dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos ini dilihat berada di landasan tepat.

Setakat semalam, seramai 4.711 juta penduduk di Lembah Klang telah pun menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Jumlah 4.711 juta itu merangkumi 55.9 peratus keseluruhan populasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kadar tersebut itu juga bermakna 76.4 peratus populasi dewasa telah pun menerima dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Secara keseluruhan, PICK telah pun mencatatkan 16.904 juta pemberian dos vaksin seluruh negara sejak dilancarkan penghujung Februari lalu.

Baca artikel berkaitan: 74.3 peratus populasi dewasa di Selangor, KL dapat satu dos

Sehingga kini, 11.507 juta individu telah pun menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala 5.397 juta lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Semalam, sebanyak 417,738 dos telah pun diberikan di seluruh negara.

Pemberian itu merangkumi 284,672 dos bagi suntikan pertama manakala baki 133,066 untuk dos kedua vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, 16.5 peratus populasi negara telah pun menerima vaksin COVID-19 setakat ini.

Bagi pemberian dua dos, kata beliau, liputan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1.597 juta.

Katanya, kadar tersebut merangkumi 19.0 peratus jumlah populasi di Lembah Klang.

Menurut beliau, ia diikuti 1.118 juta (39.7 peratus populasi) di Sarawak; 396,741 (10.5 peratus populasi) di Johor; 378,840 (9.7 peratus populasi) di Sabah dan sebanyak 350,460 (14.0 peratus populasi) di Perak.

Dr. Adham berkata, Pulau Pinang menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 252,326 individu melengkapkan dua dos diikuti Kedah (242,545) dan Pahang berjumlah 221,908.

“Seterusnya, Kelantan telah mencatatkan 214,732 lengkap dos kedua; 196,483 di Negeri Sembilan dan 160,687 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 148,107 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 68,316 di Perlis dan 50,785 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Sarawak menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 1.644 juta individu.

Beliau memaklumkan, ia diikuti Johor 845,126; Perak (653,851); Sabah (618,405) dan Pulau Pinang (613,763).

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram