DUNIA bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kapten pasukan Selangor FC, Brendan Gan disahkan menghidap penyakit kanser testis dan terpaksa berehat panjang sementara proses pemulihan.

Menurut Brendan, 33, pembedahan mengeluarkan ketumbuhan telah pun dilaksanakan dan kini sedang menghadapi proses rawatan seterusnya.

Bagaimanapun, tonggak tengah Harimau Malaya itu tetap tidak patah semangat dan terus mempunyai motivasi tinggi untuk kembali memimpin pasukan Selangor FC secepat mungkin.

Beliau menegaskan sentiasa memandang semua perkara positif dengan isu negatif telah memberinya kekuatan sekali gus membina karakter dan ketabahan untuk bertahan dalam apa jua cabaran.

“Saya telah didiagnos dengan kanser testis, saya telah menjalani pembedahan dan akan menghadapi proses rawatan seterusnya tidak lama lagi.

Kesebelasan utama Selangor FC memegang jersi Brendan Gan sebagai tanda solidariti sewaktu perlawanan menentang Kuala Lumpur, Ahad lalu. Gambar: Twitter Selangor FC

“Apa yang pasti, saya sangat bertuah mempunyai individu yang sentiasa menyokong, isteri dan anak yang memberi motivasi serta rakan-rakan dan komuniti bola sepak yang sentiasa berada di sisi saya tidak kira apa juga berlaku.

“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya, ia hanya satu jalan yang saya lalui dan kembali ke jalan yang telah saya lalui sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di akaun Instagram miliknya hari ini.

Baca artikel berkaitan: Harimau Malaya akan kembali lebih kuat untuk ke Piala Asia

Kenyataan itu sekali gus menamatkan spekulasi ketiadaan Brendan dalam skuad Gergasi Merah dalam pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC, Ahad lalu.

Kenyataan Brendan Gan dalam akaun Instagram miliknya hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, kesebelasan utama pasukan Selangor FC bergambar bersama jersi No. 88 milik Brendan sebelum saingan bermula.

Sementara itu, Selangor FC dalam akaun Twitter turut mengesahkan perkara itu dan mendoakan kesihatan serta meminta semua pihak memberi ruang sepanjang tempoh pemulihan Brendan.

Menurut Selangor FC, walaupun telah diuji dengan penyakit itu, Brendan tetap optimis dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan.

“Walau diuji, Brendan tetap optimis dan kuat. Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya.

“Brendan tekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan.

“Seluruh warga Selangor FC mendoakan agar Brenda cepat sembuh dan memohon semua penyokong mendoakan yang terbaik buat beliau,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram