Sebahagian daripada ribuan rakyat Perancis menyertai bantahan rancangan kerajaan meluluskan undang-undang pas khas pergerakan dan peraturan vaksin.

PARLIMEN Perancis hari ini meluluskan undang-undang yang mewajibkan pas virus khas untuk semua restoran dan perjalanan domestik selain mewajibkan vaksinasi koronavirus (Covid-19) untuk semua pekerja kesihatan.

CBS News melaporkan, kedua-dua langkah itu bagaimanapun telah mendorong protes dan ketegangan politik di negara berkenaan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan kerajaannya menegaskan langkah itu perlu untuk melindungi penduduk dan hospital ketika jangkitan kembali meningkat selain mengelakkan perintah berkurung baharu.

Undang-undang itu mewajibkan semua pekerja di sektor penjagaan kesihatan untuk mulai divaksin pada 15 September atau berisiko digantung perkhidmatan.

Selain itu, orang ramai perlu mendapatkan ‘pas kesihatan’ untuk memasuki semua restoran, kereta api, kapal terbang dan beberapa tempat awam yang lain.

Pada awalnya undang-undang itu terpakai untuk semua orang dewasa, namun ia akan turut diwajibkan kepada mereka berumur 12 tahun ke atas mulai 30 September ini.

Untuk mendapatkan pas tersebut, orang ramai mesti membuktikan mereka telah menerima dos vaksin penuh lengkap, diuji negatif pada ujian saringan terdekat atau baru pulih dari virus itu.

Dokumen bercetak atau digital akan diterima. Undang-undang itu mengatakan dekri kerajaan akan memperincikan bagaimana berurusan dengan dokumen vaksinasi dari negara lain.

Rang undang-undang itu diperkenalkan enam hari yang lalu. Ahli Parlimen bekerja sepanjang malam dan hujung minggu untuk mencapai versi undang-undang yang diterima dan diluluskan oleh Senat dan Majlis Nasional lewat malam tadi.

Peraturan tersebut akan dikuatkuasakan pada 15 November, bergantung pada situasi Covid-19.

Macron turut merayu akan perpaduan nasional dan vaksinasi besar-besaran untuk melawan jangkitan virus yang kembali meningkat selain membidas mereka yang mendorong sentimen dan protes antivaksin.

Kira-kira 160,000 orang mengadakan tunjuk perasaan di sekitar Perancis, kelmarin bagi membantah rancangan pas khas Covid-19 untuk restoran dan vaksinasi wajib bagi pekerja kesihatan.

Ramai penunjuk perasaan menjerit “kebebasan!” dan mengatakan kerajaan tidak harus memberitahu mereka apa yang harus dilakukan.

Semasa berkunjung ke sebuah hospital di Polynesia, Macron menggesa perpaduan nasional dan bertanya:”Apa nilai kebebasan anda jika anda mengatakan kepada saya ‘Saya tidak mahu diberi vaksin’, tetapi esok anda menjangkiti ayah, ibu atau saya?”

Walaupun beliau mengatakan penunjuk perasaan mempunyai kebebasan bersuara dalam cara yang tenang, namun demonstrasi itu tidak akan membuatkan Covid-19 hilang.

Lebih daripada 111,000 orang yang dijangkiti Covid-19 telah mati di Perancis, yang mencatatkan kira-kira 20,000 jangkitan baharu setiap hari sejak kebelakangan ini berbanding hanya beberapa ribu kes pada awal bulan ini.