sembilan nafsu satu akal

Ciptaan Allah S.W.T. adalah sebaik-baik ciptaan, sebagaimana diciptakan makhluk berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.

Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Apa yang diciptakan oleh Allah, pastinya memiliki sebab tersendiri. Begitu juga dengan akal dan nafsu yang dimiliki oleh manusia, baik lelaki mahupun wanita.

Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan dua wanita dengan satu lelaki, contohnya dalam hal penyaksian.

Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab akibat sesuatu perkara.

Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kucar-kacir. Masing-masing memiliki akal dan nafsu tersendiri.

Apabila hal akal dan nafsu disentuh, ramai yang bertelagah ingin mempertahankan diri sendiri. Bagi mereka, jika dibandingkan antara lelaki dan wanita terlalu banyak perkara yang boleh dibezakan.

Menurut Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Mohd Khafidz Soroni,  Rasulullah ada menyebutkan kekurangan akal dan agama pada perempuan sebagaimana dalam hadis sahih dari Abi Sa’ed al-Khudri.

“Dari ‘Iyadl bin ‘Abdullah dari Abu Sa’id Al Khudri  ia berkata, “Rasulullah s.a.w. pada hari raya Aidil Adha  atau Fitri keluar menuju tempat solat. Baginda melewati para wanita lalu bersabda,

Benarkah wanita lebih beremosi berbanding lelaki kerana mereka mempunyai 9 nafsu?

“Wahai para wanita! Hendaklah kalian bersedekah, sebab diperlihatkan kepadaku bahawa kalian adalah yang paling banyak menghuni neraka.” Kami bertanya, “Apa sebabnya wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab, “Kalian banyak melaknat dan banyak mengingkari pemberian suami. Dan aku tidak pernah melihat dari tulang laki-laki yang akalnya lebih cepat hilang dan lemah agamanya selain kalian.” Kami bertanya lagi,

“Wahai Rasulullah, apa tanda dari kurangnya akal dan lemahnya agama?” Baginda menjawab, “Bukankah persaksian seorang wanita setengah dari persaksian laki-laki?
Kami jawab, “Benar.”

Baginda berkata lagi, “Itulah kekurangan akalnya. Dan bukankah seorang wanita bila dia sedang haid dia tidak solat dan puasa?” Kami jawab, “Benar.” Baginda berkata, “Itulah kekurangan agamanya.” – HR Bukhari   

Dalam hadis tersebut menerangkan,  sememangnya akal yang dimiliki oleh wanita adalah lemah dan kurang berbanding lelaki. Oleh yang demikian tiada gunanya untuk seorang wanita menidakkan apa yang telah tercatat. Tetapi tidak bermakna wanita kurang segala-galanya. Percayalah apa yang diciptakan oleh Allah pasti ada hikmahnya.

9 Nafsu 1 akal

Dalam hal ini, tidak kurang juga yang bertelagah mengenai berapa banyak nisbah akal dan nafsu yang sebenarnya dimiliki oleh lelaki dan wanita. Ada yang mengatakan, wanita mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Sebaliknya lelaki memiliki sembilan akal dan satu nafsu. Ada pula yang berkata wanita memiliki tujuh nafsu dan satu akal. Begitu sebaliknya.

Nafsu dan akal adalah dua unsur penting bagi manusia. Kewujudan nafsu dan akal dalam diri manusia menjadikan manusia ini makhluk yang unik dan hebat sehingga Allah memilih mereka menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Allah juga menjadikan manusia dalam dua kategori, lelaki dan wanita.

Ada hikmah dalam fitrah kejadian mereka berbeza dari sudut fizikal, mental dan spiritual. Tidak ada sumber yang jelas berkaitan perbezaan antara lelaki dan perempuan dari sudut nafsu dan akal.

Ayat al-Quran dan hadis yang membicarakan soal nafsu juga bersifat umum. Tetapi yang pasti setiap lelaki dan perempuan ada kelebihan masing-masing. Pandangan yang menyatakan perbezaan nisbah ini diambil dari kata-kata Hasan al-Basri dalam komunikasinya bersama Rabiatul Adawiyyah, iaitu semasa al-Hasan pergi meminangnya setelah kematian suaminya.

Beliau telah disoal beberapa perkara oleh Rabiah dan tidak dapat menjawabnya. Tetapi apabila ditanya tentang akal, dikatakan al-Hasan telah menjawab sebagaimana di atas, iaitu 9:1 dan 1:9.

Demikianlah kisah yang didakwa telah berlaku di antara dua tokoh besar dalam Islam. Kisah ini telah dinukilkan oleh Usman al-Khaubawi, dalam kitabnya “Durrah an-Nasihi

Nafsu dan akal membezakan manusia dengan makhluk yang lain

Terang Mohd Khafidz lagi, hadis yang sangat popular diguna pakai ini sebenarnya tidak ada sumber yang boleh dipercayai. Mungkin masyarakat boleh menggunakan ia sebagai satu motivasi kerana ia diucapkan seolah-olah sebagai ukuran dan perumpamaan sahaja. Apatah lagi untuk dijadikan sebagai fakta dan hujahan.

Malah riwayat tersebut tidak juga direkodkan dalam kitab-kitab muktabar yang disusun pada zaman periwayatan dalam kurun ke dua, tiga atau empat hijrah. Selain itu, jika dilihat jarak antara Usman al-Khaubawi dan al-Hasan al-Basri, jarak mereka sangat jauh.

Al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21 Hijrah, kemudiannya meninggal dunia pada 110 Hijrah. Manakala Usman al-Khaubawi hidup sekitar kurun ke 13 dan meninggal dunia pada 1241 Hijrah.

Ini sudah cukup membuktikan mungkin maklumat yang disampaikan sudah cukup lama. Tidak mustahil perkara sebenar yang disampaikan sudah berubah dari maksud asal.

Masih ada nilainya

Hakikat nafsu dan jumlahnya pada lelaki dan perempuan adalah suatu yang sukar untuk dijelaskan kerana ini bergantung pada sejauh mana nafsu dan akal berperanan dalam diri seseorang.

Iman, takwa, corak pemikiran, kebiasaan dan sikap seseorang yang menentukan bagaimana nafsu berperanan. Oleh itu pembahagian nafsu juga berbeza. Ada yang mengatakan tiga tingkatan, ada yang mengatakan tujuh dan ada yang mengatakan sembilan.

Nilai positif yang mungkin boleh diambil dari kata-kata Hasan al-Basri ialah kebanyakan lelaki berfikir lebih luas berbanding perempuan. Namun terdapat juga perempuan yang mempunyai pemikiran yang luas sebagaimana lelaki.

Dari sudut nafsu pula, kebanyakan perempuan lebih beremosi berbanding lelaki. Oleh itu Allah menegaskan dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud,

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Jelaslah orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Kemuliaan seseorang bukan kerana kurang atau lebih akal dan nafsunya tetapi mereka yang lebih mulia adalah orang yang mampu menggunakan akal dan nafsunya untuk bertakwa kepada Allah s.w.t. Wallahu a’lam

____________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram