WALAUPUN pandemik Covid-19 sedang melanda Malaysia dan seluruh dunia, ia tidak menghalang kumpulan nasyid Inteam untuk terus menghasilkan single baru berjudul Al-Quds Lana.

Apa yang lebih membanggakan, single tersebut yang bermaksud Al-Quds (Baitul Maqdis) milik kami, kedengaran bergema di bumi Gaza, Palestin di dalam sebuah perkongsian video ketika program sembelihan korban di sana.

“Alhamdulillah, single baru kami yang diterbitkan bersama gabungan NGO MyAqsa Defenders baru sahaja dilancarkan pada Hari Raya Aidiladha dan kami melihat satu video di mana lagu tersebut berkumandang di Gaza dalam sebuah program sembelihan korban. Kami sangat terharu dan bersyukur” ujar Syah selaku ketua kumpulan Inteam.

Bercakap tentang pembikinan single tersebut, Hazamin berkata, mereka sempat menyiapkan karya tersebut sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kami sempat merakamkan suara dan muzik video bagi projek ini sebelum PKPD diumumkan bahkan muzik video dirakam secara layar hijau bagi mengelakkan perkumpulan serentak keempat-empat anggota kumpulan Inteam. Kami cuma digabungkan berempat di dalam video dengan bantuan grafik,” ujarnya.

Lagu Al-Quds Lana yang diolah semula daripada sebuah lagu lama berbahasa arab berkaitan perjuangan Palestin turut mendapat sentuhan puitis dari penulis lirik hebat Fedtri Yahya bagi bait-bait lirik Bahasa Melayunya.

“Sewaktu kami menghubungi Fedtri bagi menggubah lirik lagu ini, dia tidak menolak bahkan gembira dapat turut sama dalam membina kesedaran dan menaikkan semangat masyarakat berkaitan isu Palestin.

“Fedtri juga merupakan di antara selebriti yang sentiasa berkongsi hantaran berkenaan maklumat terkini mengenai Palestin di media sosial. Bahkan dia juga salah seorang ikon MyAqsa Defenders,” ulas Rahim.

Ditanya mengenai maksud dan tujuan lagu ini dilancarkan, Hisyam mengulas, lagu Al-Quds Lana bermaksud Baitul Maqdis atau Al-Aqsa milik kita semua dan harus mempertahankannya dari dirampas dan dicengkam musuh.

“Tujuan lagu ini dilancarkan ialah bagi menimbulkan kesedaran dan terus meniup semangat khususnya remaja dan belia berkenaan isu Palestin agar ia tidak hanya diberi perhatian secara bermusim sahaja,” ungkapnya.

Single Al-Quds Lana telah dilancarkan di dalam sebuah majlis pelancaran secara atas talian pada 21 Julai 2021 yang lalu beserta pelancaran E-Book berjudul 100 Hujjah #AlQudsKitaPunya.

Single tersebut telah mencatatkan lebih 30,000 tontonan di Youtube sejak dilancarkan, dan kini boleh ditonton di Youtube Inteam Digital dan distrim melalui platform digital seperti Spotify, Deezer, KKbox, Itunes, Apple Music dan lain-lain.