SEBAIK kerajaan maklumkan ordinan yang diluluskan dalam tempoh proklamasi darurat telah dibatalkan, ramai peguam kanan membangkitkan beberapa isu di media sosial.

Selain berhubung cara pembatalan itu sama ada mengikut Perlembagaan Persekutuan atau tidak, ada satu lagi perkara yang menjadi persoalan iaitu bagaimana dengan tindakan undang-undang berkaitan dalam tempoh 22 Julai hingga kini.

Justeru, sebaik sahaja gelanggang Dewan Rakyat dibuka jam 10 pagi ini, kerajaan terus diasak wakil pembangkang mengenai perkara tersebut.

Pada sesi yang dipengerusikan Datuk Seri Azalina Othman Said itu, awalnya berlangsung dengan aman serta tertib laksana prosiding di mahkamah.

Bermula dengan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) yang membentangkan hujahnya beserta kes duluan merujuk Teh Cheng Poh v Pendakwa Raya, ia kemudian disusuli beberapa wakil pembangkang.

Antaranya Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) dan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Ketika ini, satu pihak bercakap dan satu pihak mendengar. Masing-masing dapat bentangkan hujah mereka dengan bangun berdasarkan peraturan mesyuarat.

Malah ada yang tersasul merujuk Azalina sebagai ‘Yang Arif’ dan ini turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut menyambut hujah berapi blok pembangkang dengan gaya peguam dan pendakwa di mahkamah yang saling memberi penghormatan.

Waima ketika RSN Rayer bangun juga tiada pekikan dengan wakil DAP itu membangkitkan tentang pertuduhan jenayah yang masih diteruskan berdasarkan Ordinan Darurat yang dijelaskan Takiyuddin sebagai sudah dibatalkan sejak 21 Julai.

Kemudiannya, Azalina mengambil peluang memaklumkan yang menteri undang-undang itu akan menjelaskan isu dibangkitkan pada Isnin ini iaitu hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat.

Ini kerana sudah ada petua dibuat Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun semalam dan beliau tidak boleh melangkauinya untuk mengarahkan Takiyuddin menjawab segera.

Takiyuddin yang turut bangun menjelaskan yang beliau tidak berniat lari untuk menjawab isu dibangkitkan kerana Isnin ini beliau akan tetap menjawab.

Namun, ketika inilah keadaan Dewan Rakyat kembali gamat dan panas hampir menyamai senario pagi semalam kerana wakil pembangkang merasakan isu ini perlu diberi penekanan segera.

Selain soal penguatkuasaan undang-undang, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menekankan soal apakah pembatalan itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ketika diumumkan semalam.

Bagi Anwar, pengumuman Takiyuddin itu selain menyentuh kepentingan umum, ia juga melibatkan kuasa Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun yang dimahukan pembangkang jawapan ‘ya atau tidak’ sudah menerima perkenan Seri Paduka, namun Takiyuddin tetap bertegas hanya akan memberikan jawapan pada Isnin.

Mendengar jawapan itu, Anwar mencadangkan Takiyuddin memohon maaf dan pembangkang sedia ‘move on’ dari isu itu jika ada kesilapan di pihak kerajaan dalam pengumuman semalam.

“Apa yang susah,” soal wakil (PH-Port Dickson) itu yang disambut tepukan meja dan pekikan dari blok pembangkang.

Ini berbeza di pihak backbenchers atau blok penyokong kerajaan, kurang kedengaran suara.

Baca artikel berkaitan: Ordinan Darurat mansuh: Pembangkang ingin penjelasan adakah saman/denda berkaitan terbatal?

Melihatkan keadaan riuh-rendah itu, Azalina memberikan petua supaya wakil pembangkang berunding dengan Azhar supaya jawapan kerajaan disegerakan.

Katanya, sebagai peguam, beliau juga sedar apa dibangkitkan tetapi terikat dengan petua yang diberikan Azhar semalam bahawa Takiyuddin akan menjelaskan pada Isnin.

“Atau nanti bila tiba giliran Yang Dipertua pengerusikan persidangan, boleh bangkitkan masa itu,” katanya.

Keadaan itu berlarutan hampir sejam sebelum sesi persidangan diteruskan mengikut aturan mesyuarat dengan giliran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberikan sesi penerangan.

Kira-kira jam 11.30, Gobind bagun membangkitkan isu berkenaan apabila Azhar mempengerusikan persidangan.

Ketika berita ini ditulis, Hanipa turut memberikan hujah di hadapan Azhar mengapa Takiyuddin perlu memberi penjelasan segera dan bukan Isnin.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram