Azhar minta Noh bangkitkan isu darurat ketika giliran Takiyuddin memberi penerangan Isnin ini.

KATALAH apa sahaja, hujah perundangan mahupun sindiran tajam, tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tetap tidak berganjak dengan keputusannya.

Ini berhubung desakan pembangkang supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan segera mengenai pembatalan undang-undang di bawah ordinan darurat sejak 21 Julai.

Dalam nada tenang dan bersahaja, Azhar berkata, beliau telah menetapkan giliran Takiyuddin pada Isnin dan ini perlu diikuti semua supaya perjalanan sidang khas Parlimen berlangsung seperti dirancang.

Baca artikel berkaitan:Darurat tak disambung, ordinan berkaitan dibatalkan – Takiyuddin

Katanya, ketika ini beliau telah menetapkan giliran menteri lain termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi penerangan berkaitan situasi semasa COVID-19.

“Kita ikut aturan mesyuarat. Isnin giliran menteri undang-undang menjelaskan soal berkaitan proklamasi darurat. Saya telah arah beliau jawab Isnin.

“Kalau ada (berbangkit), itu risiko yang dibawa oleh kerajaan lah,” katanya yang disambut pekikan dari blok pembangkang “kenapa tak boleh hari ini”.

Pada masa sama, sebagai bekas peguam, Azhar juga ambil maklum kes-kes perundangan yang dibangkitkan dan sempat menekankan mengenai perenggan lain pandangan hakim Lord Diplock dalam kes Privy Council tersebut tetapi tidak disebut pembangkang.

Namun kata Azhar, beliau tidak mahu meneruskan hujah bagi pihak kerajaan pula dan meminta semua menunggu penjelasan Takiyuddin.

Terdahulu Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangun buat kali kedua pada sidang khas pagi ini untuk mendesak Takiyuddin menjelaskan pengumuman semalam yang dakwanya menimbulkan kekeliruan umum.

Selain menyentuh kepentingan ramai dari aspek penguatkuasaan, turut dibangkitkan Gobind mengenai cara pembatalan yang perlu dijelaskan Takiyuddin kerana perkara itu melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen.

Hal sama disuarakan beberapa wakil pembangkang yang lain dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Azhar yang beliau bertanggungjawab selaku Speaker untuk menegakkan kepentingan umum.

Dalam nada biasanya, Anwar mengingatkan Azhar yang kerusi beliau sebagai Speaker tidak harus disalah guna untuk melindungi cabang eksekutif (kerajaan).

Malah RSN Rayer (PH-Jelutong) seperti biasa sempat menjerit dan kali ini kedengaran perkataan “derhaka”.

Bahkan, di blok penyokong kerajaan, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) turut bangun menyentuh isu sama.

Baca artikel berkaitan: Darurat: PH mahu segera tapi Takiyuddin kata akan jawab Isnin

Malah, Noh menyatakan jika ordinan-ordinan darurat dibatalkan, maka tidak ada gunanya sesi sidang khas Parlimen ini.

“Kalau benar darurat sudah dibatalkan, no point kita nak bincangkan,” disambut sorakan dan tepukan meja terutama di blok pembangkang.

“Bagi saya, tak gunalah saya dilantik dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Keputusan nak sambung atau tamat biarlah Yang di-Pertuan Agong buat.

“Saya kena cakap yang betul, kita dah buang masa berapa lama dah. Speaker pun kena buat betul-betullah aturan mesyuarat,” katanya yang menegaskan beliau harus bercakap benar kerana Parlimen adalah dewan yang mulia.

Azhar kemudian minta Noh duduk dengan memintanya membangkitkan perkara tersebut pada Isnin ini ketika giliran Takiyuddin menjawab kelak.

Noh pada masa sama memohon maaf berhubung isu aturan mesyuarat hari ini yang awalnya didakwa beliau hanya empat tetapi sebenarnya lima.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram