sebut kalau menyebabkan syirik

Perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah adalah syirik.

 Apabila berlaku sesuatu yang buruk atau nasib malang bagi seseorang lalu dia pun berkata, “Kalau aku tak buat begitu, takkan jadi macam ni…”, dan seumpamanya adalah amalan syaitan kerana menidakkan takdir Allah.

Firman Allah surah Ali ‘Imran: 156 ,

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh), ‘Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh’.

(Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu penyesalan dalam hati mereka dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.”

Di sini jelas menunjukkan, penggunaan perkataan kalau boleh membawa pada syirik ashghar iaitu syirik kecil di mana setiap ucapan atau perbuatan yang dinyatakan syirik oleh syarak tapi tidak mengeluarkannya dari agama. Ia merupakan satu dosa besar yang dapat membawa pada syirik akbar atau syirik besar.

Dari Said al-Khudri, Rasulullah s.a.w bersabda,

sebut perkataan kalau boleh menyebabkan syirik

“Janganlah dari kamu menghinakan dirinya” Sahabat bertanya, “Bagaimana mungkin seseorang menghinakan dirinya sendiri?”. Rasulullah bersabda, “Iaitu dia melihat hak Allah yang harus ditunaikan, namun tidak ditunaikannya! Maka Allah akan berkata kepadanya di hari kiamat, “Apa yang mencegahmu untuk mengucapkan begini dan begini?” 

Ia menjawab, “Kerana takut kepada manusia! Allah berkata,“Seharusnya hanya kepada-Ku saja engkau takut”. HR Ibnu Majah

Berdasarkan hadis tersebut, jika seseorang mengucapkan kata-kata sedemikian, dia telah menganggap seolah-olah Allah tidak campur tangan dalam sesuatu perkara yang berlaku. Padahal, ini semua sebenarnya adalah satu ujian.

Ujian itu pula adalah satu tanda bahawasanya Allah menyayangi hamba-hambaNya. Maka di kesempatan inilah syaitan akan bersorak kegembiraan dan mengambil peluang untuk meruntuhkan sesuatu yang melibatkan akidah.

Rasulullah bersabda,

Barang siapa yang bersumpah dengan selain nama Allah, maka ia telah berbuat syirik”. Sabda Nabi s.a.w lagi, “Janganlah kamu berkata,  “Atas kehendak Allah dan kehendak si Fulan”. Tapi katakanlah, “Atas kehendak Allah, kemudian kehendak si Fulan.” (HR Ahmad).

Terbuka pintu-pintu syaitan

Sekiranya ada kunci, haruslah ada pintunya. Seperti yang telah dijelaskan, kunci itu adalah ilmu yang melahirkan rasa keimanan dan membentuk amal perbuatan bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah.

Benteng yang dapat memelihara diri dari dimasuki hasutan syaitan ialah hati. Namun syaitan sentiasa mengintai peluang untuk menguasai benteng hati tersebut. Oleh itu, sebagai hamba Allah kita haruslah menutup pintu-pintu ini dari dimasuki dan melindungi hati dari hasutan syaitan.

Bagaimana perkataan kalau membuka pintu syaitan? Seperti yang telah diterangkan

“Kata-kata seumpama itu membuka pintu kesedihan, penyesalan dan mungkin kebencian yang payah untuk dihilangkan. Bahkan, ia adalah satu adab buruk terhadap Allah yang mentakdirkan setiap sesuatu. Dengan ini syaitan akan mengambil peluang untuk menyesatkan manusia sehingga sampai ke satu tahap yang boleh menggugat akidah ataupun menyebabkan seseorang itu keluar dari agama Islam.”

KALAU itu membuka pintu amalan syaitan. Yakni membuka pintu kesedihan dan kekecewaan yang demikian berbahaya dan tidak bermanfaat. Tapi ketahuilah bahawa apa saja yang menimpa seseorang tidak akan pernah meleset, dan segala yang meleset tidak akan pernah menimpa seseorang.

KALAU mempertikaikan qada dan qadar

Seperti yang dinyatakan, perkataan kalau itu dilarang untuk digunakan pada sesuatu perkara yang telah lepas sehingga secara langsung boleh menyebabkan manusia cuba mempertikaikan qada dan qadar.

Keadaan ini sudah pasti mengundang jalan bagi syaitan untuk menyuntik jarum-jarumnya terhadap manusia.

Sebagai umat Islam, kita semua wajib mempercayai qada dan qadar kerana ia merupakan rukun iman yang keenam. Qada itu merupakan pelaksanaan, manakala qadar pula ialah sukatan.

Secara ringkasnya dari sudut syarak, qada ialah perkara yang diputuskan oleh Allah terhadap segala makhluknya sama ada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya. Manakala qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahului setiap perkara.

Syed Sabiq di dalam kitabnya al-Aqaid al-Islamiyah berkata, Imam al-Khathabi telah berkata,


‘Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hamba-Nya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara. Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Umar Al-Khattab r.a. seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan dia telah dibawa menghadap khalifah Umar. Lelaki itu telah disoal, “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab,

Setiap perbuatan kita adalah disebabkan kita sendiri bukan kerana Allah telah tentukan sebagaimana kisah Umar al-Khattab dengan pencuri

“Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya

Khalifah Umar r.a. amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata, “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.”

Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya, “Mengapa hukumannya begitu berat?”

Berkata Umar Al-Khattab r.a. “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah

Maksudnya, manusia diizinkan Allah untuk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian dari ketetapan qada dan qadar.

Hal ini ditekankan lagi dengan firman Allah surah Qaaf: 29

Keputusan di sisi-Ku tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Ku.

Disini dapat dijelaskan bahawa sesuatu yang berlaku itu adalah dengan izin Allah dengan kudrat dan iradat-Nya, dengan ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah’. Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah.

Orang yang beriman dan melihat sesuatu perkara itu berlaku atas kehendak Allah setelah berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu merupakan orang yang sangat beruntung.

Ini kerana, orang inilah yang akan berasa puas dengan berbuat taat kepada Allah dan merasa cukup atas segalanya.

Sebagai manusia kita memang sesekali tidak akan dapat mengubah takdir. Namun begitu, setiap takdir yang telah ditetapkan oleh Allah ini boleh ditolak apabila disusuli dengan takdir yang lain.

Apabila ditakdirkan lapar, maka dapat dihalang dengan takdir makan. Dahaga dapat dihilangkan dengan minum, kesedihan diganti dengan kegembiraan dan seumpamanya.

Kesemua ini jelas menunjukkan Allah tidak akan membebankan hamba-hambaNya dengan takdir yang telah ditetapkan. Manusia itu sendiri seharusnya menentukkan jalan hidupnya kerana diberi kebebasan untuk memilih sesuatu yang baik ataupun tidak. Wallahu a’lam

_______________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram